a Dr Zambry Hormati Keputusan Husni Letak Jawatan ~ zambry.my

Thursday, July 7, 2016

Dr Zambry Hormati Keputusan Husni Letak Jawatan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghormati keputusan bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk meletak jawatan atas sebab-sebab peribadi.


Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata beliau bagaimanapun masih belum mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perletakan jawatan Ahli Parlimen Tambun itu kerana sedang berada di luar negara sewaktu rombakan kabinet berlaku.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut, kerana saya sedang bercuti pada waktu itu dan sehingga kini Datuk Seri Husni telah membuat keputusan itu dan saya menghormatinya.

“ Itu adalah perkara paling penting dan kita juga harus memberi ruang kepadanya untuk berada di dalam tahap ketiga kehidupannya,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Sambutan Hari Raya Aidilfiri 1 Syawal 1437H Peringkat Negeri Perak di kediaman Menteri Besar pada petang Rabu.

Menyentuh mengenai perletakan jawatan Husni sebagai Bendahari UMNO dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Negeri Perak serta Ketua UMNO Bahagian Tambun, Dr Zambry berkata perkara itu akan dibincangkan ke peringkat pusat terlebih dahulu.

“ Kita akan bincangkan, kerana ini adalah masalah yang berkaitan dengan parti dan kita akan melakukan sebarang keputusan dai segi parti, serta merujuk kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,”katanya lagi.

Pada 27 Jun lepas, Najib mengumumkan rombakan kabinet kali ketiga sejak menerajui negara dan melantik Datuk Johari Abdul Ghani yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kewangan sebagai Menteri Kewangan kedua menggantikan Husni.

0 comments:

Post a Comment