a JKR Diarah Pantau Struktur Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands ~ zambry.my

Thursday, July 28, 2016

JKR Diarah Pantau Struktur Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands

Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerjaya Raya (JKR) memantau rapi struktur jalan di Kilometer 44, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands bagi memastikan ia selamat digunakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, JKR telah pun mengenal pasti kawasan-kawasan bahaya yang kerap berlaku kemalangan di tempat berkenaan.


“Kita telah mengarahkan mereka menubuhkan satu pasukan untuk membuat pemantauan setelah mendapat laporan mengenai jalan raya tersebut yang dimaklumkan mempunyai kedudukan tanah yang tidak begitu baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai usaha kerajaan negeri menangani masalah keselamatan jalan raya di kawasan berkenaan.

Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri juga akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan berkenaan selamat digunakan.

“Kita perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan kemalangan tidak diingini dapat dielakkan dan tidak lagi berlaku,” tambahya.

Pada Selasa, seramai 28 pelancong, termasuk dua orang tempatan nyaris maut apabila bas yang dalam perjalanan dari Cameron Highland ke Ipoh terbabas lalu terbalik di kawasan berkenaan.

Pada April, dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam satu kemalangan di kawasan yang sama.

Dalam kejadian sekitar 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Shukri Mohammad, 26  dan Norkhaliza Mohd Yusoff, 23, yang merupakan anggota dari Markas Tentera Laut yang bertugas di Kuala Lumpur maut di tempat kejadian.

0 comments:

Post a Comment