a Kerajaan Pandang Serius Kemajuan Projek Di Perak ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

Kerajaan Pandang Serius Kemajuan Projek Di Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri akan mempastikan semua projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini berjalan dengan lancar berada di tahap yang memuaskan.
Menurut beliau, keprihatinan kerajaan itu bukan sahaja tertumpu kepada projek di kawasan tertentu, malah meliputi seluruh negeri.
Bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pangkor pada Ahad, beliau berkata, lawatan itu bukanlah kali pertama, malah sebelum inipun beliau telah memantau beberapa kawasan projek lain seperti di Sungai Siput.
"Dengan cara ini juga saya berpeluang melihat sendiri tahap perkembangan untuk setiap projek yang dilaksanakan," katanya.
Menteri Besar memaklumkan projek-projek di bawah kelolaan kerajaan Persekutuan serta sumber daripada kerajaan negeri sendiri turut diberikan perhatian serius bagi memastikan ianya tidak terbengkalai.
"Kita juga dapat memantau dan mengesan projek 'sakit' yang memerlukan 'rawatan' dengan segera kerana kita tidak mahu ia terbengkalai sehingga tidak dapat menyediakan satu prasarana untuk kegunaan rakyat," tambahnya.
Dalam lawatan kerja itu, beliau berkesempatan meninjau beberapa tapak projek seperti padang bola sepak sintetik SMK Pulau Pangkor, tapak perumahan Jabatan Kerja Raya (JKR), pembinaan sekolah tahfiz Teluk Gedong dan blok pangsapuri kos sederhana 7 tingkat di Pasir Bogak.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Zamri Man, pegawai-pegawai kanan dan beberapa wakil daripada jabatan yang terlibat.

0 comments:

Post a Comment