a Kerjasama Cuepacs, Kerajaan Negeri Bentuk Pasukan Yang Kuat ~ zambry.my

Saturday, July 16, 2016

Kerjasama Cuepacs, Kerajaan Negeri Bentuk Pasukan Yang Kuat

Hasil kerjasama antara Cuepacs dan kerajaan negeri telah membentuk sebuah pasukan yang kuat sehingga berjaya membangunkan negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, itulah sebenarnya rahsia dan kunci kejayaan yang dinikmati rakyat pada hari ini.

Sehubungan itu, beliau merakamkan terima kasih kepada kongres kesatuan sekerja berkenaan yang turut bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan Perak.



"Ke mana-mana sahaja saya pergi, apabila orang bertanya apakah rahsia kejayaan kita membangunkan negeri, saya beritahu mereka, kita mempunyai sebuah pasukan yang kuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri & perasmian perwakilan tritahunan Cuepacs Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Jumaat malam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Exco kerajaan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Presiden Cuepacs Kebangsaan, Datuk Azih Muda dan Pengerusi Cuepacs Perak, Zainal Ismail.

Dr Zambry memberitahu, antara kejayaan negeri Perak yang terbaharu ialah menjadikan Ipoh sebagai destinasi keenam terbaik Asia yang perlu dilawati di samping menerima kunjungan pelancong domestik paling ramai di Malaysia tahun lalu dengan catatan 7.96 juta orang.


"Semua ini adalah hasil kerjasama berpasukan yang kita ada, tanpa kerjasama, tidak mungkin kita boleh mencapai kejayaan-kejayaan itu," ujarnya.

Sementara itu, Azih di dalam ucapannya berkata, walaupun ada cadangan pihak tertentu untuk menubuhkan parti baru, Cuepacs akan tetap kekal menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau kerajaan yang ada sekarang begitu komited untuk membantu kakitangan awam, termasuk dari segi gaji dan kemudahan perumahan.

Dalam hubungan itu, beliau memuji tindakan kerajaan negeri Perak yang menyediakan kemudahan perumahan untuk kakitangan awam di samping membina rumah mampu milik.

0 comments:

Post a Comment