a Perak Pandang Serius Lelaki Dakwa Imam Mahadi ~ zambry.my

Tuesday, July 19, 2016

Perak Pandang Serius Lelaki Dakwa Imam Mahadi

Kerajaan negeri Perak memandang serius kegiatan sebuah kumpulan ajaran sesat di negeri ini yang dilaporkan diketuai seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi baru-baru ini.

Menurut  Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, jika benar kegiatan kumpulan itu dikesan di Perak, maka beliau meminta pihak polis menjalankan penyiasatan segera berhubung perkara itu.


Bagaimanapun, kata Dr Zambry, kerajaan negeri setakat ini masih belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kumpulan itu.

“Sebarang kegiatan ajaran ilmu sesat adalah satu perkara yang serius, apatah lagi yang melibatkan ancaman senjata.

“Kita tidak mengambil perkara ini sewenang-wenangnya dan meminta pihak polis mengambil tindakan segera sekiranya benar seperti yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita  di majlis Rumah terbuka Aidilfitri anjuran Lembaga Air Perak (LAP) di Hotel Casuarina @ Meru pada Selasa.

Dr Zambry diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini kononnya terdapat satu kumpulan ajaran sesat di Perak, diketuai seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi.

Akhbar tersebut melaporkan bahawa kumpulan itu didakwa sedang mempengaruhi orang ramai dengan menggunakan pengaruh seorang ulama.

Tokoh ulama tersebut dikatakan baharu sahaja menganggotai kumpulan berkenaan dan pengaruh yang ada darinya digunakan untuk menarik lebih ramai orang awam untuk menjadi ahli kumpulan itu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu kenyataan menegaskan sekiranya wujud lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi itu, pihak polis perlu segera mengambil tindakan undang-undang bagi membendung ajaran sesat tersebut dari terus berkembang.

0 comments:

Post a Comment