a Perak Tak Setuju Ketum Ditanam - Dr Zambry ~ zambry.my

Saturday, July 30, 2016

Perak Tak Setuju Ketum Ditanam - Dr Zambry

Kerajaan Perak tidak bersetuju dengan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang memohon Kerajaan Pusat  membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sentiasa mengikut polisi dan undang-undang Kerajaan Pusat yang mengklasifikasikan ketum sebahagian daripada jenis dadah.



"Walaupun ada yang mengatakan ketum ini ada kebaikan, namun polisi kerajaan sudah terang dan kita mengikuti polisi yang klasifikasikan bahawa ketum adalah sebahagian daripada jenis-jenis dadah, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak sempena Majlis Perasmian Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJ Residences@Meru di Ipoh pada Khamis.

Tambah beliau lagi, tidak sepatutnya sebarang kenyataan kontroversi dikeluarkan bagi mempromosikan ketum yang sudah jelas dilarang penggunaan serta penanamannya di negara ini.

Beliau mengulas cadangan RISDA mahu menanam pokok ketum bagi memenuhi keperluan bidang perubatan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini dipetik berkata, berdasarkan laporan syarikat farmasi terbabit yang disokong kajian terperinci beberapa universiti, daun ketum secara saintifiknya mempunyai nilai perubatan tinggi terutama dalam menghasilkan ubat untuk menstabilkan darah pada musim sejuk.

“Daun ketum mempunyai nilai perubatan tinggi tapi masih wujud tanggapan negatif tentang tumbuhan herba berkenaan di Malaysia.

"Jadi apa salahnya kerajaan membenarkan pokok ditanam untuk tujuan eksport sahaja bagi membantu menambahkan pendapatan pekebun kecil yang kebanyakannya terdiri daripada orang kampung," katanya.

0 comments:

Post a Comment