a Ketua Kampung Perlu Kerjasama Banteras Salahguna Dadah ~ zambry.my

Thursday, July 28, 2016

Ketua Kampung Perlu Kerjasama Banteras Salahguna Dadah



Kerajaan negeri komited dalam melaksanakan kerjasama erat dengan ketua-ketua kampung di sekitar Perak untuk membendung gejala penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia perlu bagi mencegah kes-kes penyalahgunaan dadah secara lebih holistik.

Gambar Hiasan 

"Kita nak pastikan agar arahan yang diberikan kepada pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung dapat dilaksanakan untuk mengatasi hal ini.

""Kerajaan negeri juga akan memberikan maklum balas mengenai perkembangan terkini beberapa perkara yang dibincangkan, khususnya yang berkaitan dengan perkara yang kita arahkan mereka lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas YAB Menteri Besar Perak Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Perak di Kinta Riverfront Hotel & Suites Ipoh pada petang Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin dengan pendekatan telus di peringkat akar umbi setiap ketua kampung akan dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mengatasi masalah penagihan dadah.

"Insya Allah, mereka akan dapat melakukan apa yang telah diarahkan dengan sebaiknya dan secara sendirinya masalah penagihan dadah di kawasan luar bandar dapat diatasi secara bersama secara kolektif.
"Kita tekankan secara kolektif kerana mereka lebih mahir, lebih maklum tentang masalah yang berlaku di kawasan mereka," katanya lagi.

Tambahnya, terdapat perkembangan dan pergerakan positif yang berlaku dalam usaha tersebut walaupun terdapat banyak proses penambahbaikan perlu dilakukan.

Dr Zambry berkata, perjumpaan yang diadakan membincangkan mengenai perihal pengurusan proses pendaftaran pengundi baru dapat dilaksanakan secara sistematik oleh semua ketua kampung. 

"Perkara ini akan mula dikuatkuasakan secara lebih teratur, sebagai contoh, kita boleh menyaksikan bagaimana setiap ketua kampung yang diwakili daripada setiap daerah menyampaikan borang maklumat tambahan berkaitan dengan pengundi baru," ujarnya.

Jelasnya, dua perkara tersebut merupakan terma tambahan yang dibincangkan bagi meningkatkan kualiti komuniti masyarakat luar bandar antara ketua kampung dan kerajaan negeri dalam perjumpaan tersebut.

0 comments:

Post a Comment