a Perak Ambil Tindakan Tamat Kontraktor Lewat Siapkan Projek ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

Perak Ambil Tindakan Tamat Kontraktor Lewat Siapkan Projek

Kerajaan Perak mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor yang didapati gagal untuk menyiapkan projek-projek pembangunan mengikut tempoh dan tarikh yang ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompomi dengan mana-mana kontraktor yang 'malas; atau kontraktor yang lewat menyiapkan projek mengikut jadual dan tempoh yang ditetapkan.
Menurut beliau, kerajaan faham kalau sekiraya ada kelewatan sekitar 5 peratus dan sebagainya tetapi kalau sekiranya sebuah projek itu terlalu lewat sehingga 60 peratus hingga 70 peratus maka kerajaan tidak dapat menerima alasan kontraktor yang terbabit.
''Kita arahkan mereka ini diberhentikan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kontraktor-kontraktor malas atau kontraktor yang tidak melaksanakan projek mengikut jangka waktu yang ditetapkan.'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Menurut beliau, dari pemerhatian kerajaan negeri mendapati kelewatan projek yang berlaku disebabkan kelembapan pihak kontraktor dan kelewatan mereka yang mungkin disebabkan masalah mereka sendiri.
Dr Zambry juga meminta Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan yang sewajarnya bagi melantik kontraktor-kontraktor tempatan untuk mengendalikan projek-projek yang berkaitan dengan projek Persekutuan melainkan kontraktor luar terbabit mempunyai pengalaman tinggi.
Katanya, ini kerana kerajaan negeri dapati terdapat projek Persekutuan yang dilaksanakan kontraktor luar tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan sesuatu projek di kawasan tertentu dalam negeri Perak.
''Kita difahamkan tidak semua kontraktor mempunyai kepakaran tinggi maka kita membenarkan untuk dibincangkan tetapi secara amnya kita berharap Pusat dapat memberi perhatian sewajarnya bagi mengelak daripada berlaku kelawatan pelaksanaan projek.'' katanya.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri bertegas dan memandang serius berhubung isu kelewatan menyiapkan projek pembangunan ini kerana tidak mahu melihat rakyat menganggapnya sebagai projek 'gajah putih'.

0 comments:

Post a Comment