a Syarikat Guna Air Bawah Tanah Perlu Bayar Royalti ~ zambry.my

Thursday, July 28, 2016

Syarikat Guna Air Bawah Tanah Perlu Bayar Royalti

Syarikat-syarikat besar di Perak yang mengunakan air bawah tanah untuk tujuan operasi komersial perlu membuat bayaran royalti kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bayaran itu perlu dikenakan kerana air bawah tanah merupakan sebahagian daripada sumber asli dan pendapatan kerajaan negeri.


Menurut beliau, penggunaan sumber-sumber mineral termasuk air adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan, termasuk dikenakan bayaran.

”Ada syarikat yang mengunakan air bawah tanah ini untuk dijual dan ada juga yang mengunakan untuk operasi mereka seperti menyejukkan mesin-mesin besar yang digunakan tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa negeri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mimgguan Exco di sini pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah pun mengenal pasti beberapa syarikat yang mengunakan air bawah tanah itu secara besar-besaran.

“Kerajaan negeri mempunyai senarai itu, jangan sampai kita ke peringkat di mana mereka ditangkap mengunakan air secara tidak sah, ini bukan tujuannya untuk menyusahkan tetapi ini adalah pendapatan negeri.

“Kita harap mereka dapat mematuhi keperluan untuk membayar caj tertentu tersebut, sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

Justeru Dr Zambry memohon agar mana-mana syarikat besar yang mengunakan air bawah tanah secara besar-besaran tampil dan memaklumkan kepada pihak berkuasa negeri.

“Tetapi kita tidak menetapkan tempoh masa, kita perlu berbicang dahulu dan beri peluang kepada mereka kerana kita kerajaan yang mesra perniagaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, bayaran itu tidak dikenakan kepada pihak yang mengunakan air bawah tanah itu secara kecil-kecilan seperti tujuan kebajikan, sekolah, atau keperluan keluarga.

0 comments:

Post a Comment