a Pusat Diminta Timbang Segera Cadangan Bina Terowong Saluran Air Ke Bukit Merah ~ zambry.my

Tuesday, July 19, 2016

Pusat Diminta Timbang Segera Cadangan Bina Terowong Saluran Air Ke Bukit Merah

Kerajaan Persekutuan diminta menimbang segera cadangan kerajaan negeri Perak untuk membina terowong saluran air ke kolam tadahan air Bukit Merah sebagai langkah berkesan bagi menangani masalah krisis air di masa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, menerusi terowong yang menelan belanja kira-kira RM500 juta itu, air dapat disalurkan dari Sungai Perak ke kolam tadahan Bukit Merah bagi menampung keperluan air di kawasan berkenaan.


Beliau yakin, jika pendekatan itu digunakan, Perak tidak akan berhadapan dengan masalah krisis air di Bukit Merah.

“Kita telah mengemukakan kepada kerajaan Persekutuan malah kerajaan negeri berharap ia akan menjadi perhatian utama kepada pihak kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri  anjuran Lembaga Air Perak (LAP) di Hotel Casuarina @ Meru pada Selasa.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Menurut Dr Zambry,  kerajaan negeri menerusi LAP sentiasa memantau kedudukan di Empangan Bukit Merah iaitu empangan tertua di Malaysia yang melebihi usia 110 tahun

Beliau berkata, adakalanya empangan berkenaan  menghadapi masalah untuk menampung air pada satu-satu masa disebabkan proses pemendapan yang tinggi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, minggu lalu, takungan air kembali hampir ke paras kritikal tetapi hujan dalam tempoh beberapa hari telah meningkat paras air 0.3 meter (13 inci), sekaligus melepasi paras kritikal.

Dr Zambry berkata, langkah mewujudkan terowong saluran air itu merupakan satu keperluan jangka panjang bagi memastikan takungan air di kawasan tadahan air Bukit Merah tidak berada pada tahap kritikal.

0 comments:

Post a Comment