a 10,000 Hadiri Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri ~ zambry.my

Sunday, November 2, 2014

10,000 Hadiri Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri

Hampir 10,000 rakyat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri Perak yang berlangsung di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh pada Ahad.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencemar duli menghadirkan diri bersama-sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan exco kerajaan negeri serta pasangan masing-masing juga turut hadir.

Majlis bermula kira-kira jam 10 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Perak dan hadirin telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik sepanjang majlis berlangsung sambil menikmati juadah yang disediakan.

Semangat 1Malaysia dapat dirasai ketika majlis tersebut berlangsung apabila kesemua bangsa turut hadir bersama-sama untuk meraikan pesta cahaya tersebut.
Sultan Perak turut berkenaan memberikan sumbangan Deepavali kepada lebih 30 kanak-kanak pada majlis itu.

Menurut seorang pengunjung, Azahari Kamaruddin, 45, sambutan tersebut mengambarkan penyatuan yang kukuh di antara rakyat di negara ini, khususnya Perak.

Katanya, dia amat gembira kerana dapat melihat kesemua bangsa telah hadir pada sambutan tersebut.

"Ini sangat bagus, kita boleh tengok pelbagai bangsa di sini tegur menegur di antara satu sama lain, ia amat mengembirakan saya," ujarnya pada pemberita ketika ditemui.

Bagi N. Nageswari, 25, pula dia amat gembira dengan keputusan kerajaan negeri untuk menyambut perayaan tersebut di Bagan Datoh.

Katanya, langkah tersebut telah memberi peluang kepada ramai orang luar bandar khususnya kaum India untuk menghadirinya.

"Jika dibuat di Ipoh, ianya agak jauh untuk orang luar bandar, terima kasih kerana mengadakan sambutan ini di sini," katanya.

0 comments:

Post a Comment