a Pemecatan Dibuat Ambil Kira Semua Aspek ~ zambry.my

Saturday, June 25, 2016

Pemecatan Dibuat Ambil Kira Semua Aspek



Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keputusan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah adil dan dilakukan setelah mengambil kira semua aspek untuk kepentingan parti.

Menurut beliau, tindakan itu dilaksanakan berikutan tindakan mereka melanggar sempadan dan perlembagaan parti.


"Bukan timbalan sahaja yang terkena tetapi siapa-siapa pun, mana-mana ahli parti yang merentasi peraturan, garis panduan dan disiplin yang ditetapkan parti.

""Walaupun dia dianggap pedih atau terlalu sukar untuk dibuat terutama terhadap mereka yang menjawat jawatan tertinggi, namun ini adalah keputusan parti dan kami di Perak menyokong tindakan yang dilakukan setelah penilaian pelbagai sudut diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan 191 orang anak angkat  Menteri Besar semasa Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dan Shopping Raya di Mydin Meru, Jelapang pada petang Sabtu.

Menteri Besar berkata, pelbagai pihak mungkin akan memberi pendapat mereka berkenaan hal itu namun ianya merupakan keputusan Majlis Tertinggi setelah menilai beberapa perkara  yang didapati menjejaskan dan peraturan dan perlembangaan parti.

Tegasnya, beliau bersetuju dengan ulasan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan salah satu asas dalam pemecatan itu adalah kerana kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.

"Shafie Apdal digantung kerana penilaian terperinci telah dilakukan, MT UMNO juga telah memeriksa setiap kes yang dikenakan terhadap setiap seorang daripada mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu, majlis sambutan Hari Raya peringkat negeri bakal berlangsung di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, kata beliau, ia tiada kaitan dengan kemenangan pilihan raya kecil  baru-baru ini.
"SPR memperuntukkan masa dua bulan selepas pilihan raya, dan kita pun tidak bercadang untuk mengadakan apa-apa aktiviti bersifat meraikan.

"Cuma kali ini, setiap daerah akan dipilih maka Kuala Kangsar mendapat giliran pada kali ini," ujarnya lagi.

0 comments:

Post a Comment