a Isu Penguatkuasaan Perlu Diberi Lebih Penekanan - Dr Zambry ~ zambry.my

Tuesday, November 11, 2014

Isu Penguatkuasaan Perlu Diberi Lebih Penekanan - Dr Zambry

Semua agensi dan kakitangan kerajaan digesa memberi lebih penekanan kepada aspek penguatkuasaan supaya sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dapat berjalan dengan berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata aspek penguatkuasaan perlu diberi keutamaan kerana kegagalan pelaksanaannya sering mengakibatkan segala perkara yang diputuskan kerajaan terbantut termasuk sistem penyampaian yang ada.
Katanya, apa yang dibimbangi ia juga akan membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk bertindak dengan lebih teruk lagi.
"Saya tidak mahu mengambil contoh mana-mana tapi kita telahpun mendapat maklumat-maklumat sepertimana yang disiarkan di dalam akhbar berkaitan perkara ini apabila penguatkuasaan tidak dilaksanakan maka akan menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang tidak baik semakin berleluasa,'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sulungnya pada perhimpunan pertama bersama kakitangan awam di Dataran
Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Hadir sama diperhimpunan itu, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Setiasaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Menurut Menteri Besar, bagi beliau yang paling penting ialah bagaimana mewujudkan satu pasukan yang mantap dalam kakitangan awam bagi memastikan semua dasar yang telah diputuskan dan juga digariskan oleh kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara bersama.
Kepada soalan pemberita, katanya, beliau mencadangkan agar perhimpunan seperti itu diadakan sebulan sekali bagi membolehkan kerajan negeri menyampaikan arahan-arahan terkini tentang sesuatu perkara kepada kakitangan awam.
Terdahulu dalam ucapannya Dr Zambry mengingatkan kakitangan awam tentang pentingnya aspek sistem penyampaian dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada rakyat.
Katanya, pencapaian yang telahpun diperolehi selama ini merupakan hasil kerjasama erat dan pelaksanaan sistem penyampaian yang berkesan di kalangan kakitangan awam.
Menteri Besar turut menjelaskan bahawa tujuan perhimpunan itu diadakan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam dan membina semangat berpasukan di kalangan kakitangan awam.
Selain itu, katanya ia juga bertujuan membolehkan kerajaan negeri menyampaikan arahan-arahan terkini berkaitan dengan sesuatu perkara kepada kakitangan awam.

0 comments:

Post a Comment