a Rancangan Tun M Tubuh Parti Baharu Tidak Lemahkan Semangat Anggota BN ~ zambry.my

Friday, July 15, 2016

Rancangan Tun M Tubuh Parti Baharu Tidak Lemahkan Semangat Anggota BN

Rancangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah parti baharu sebelum membentuk blok pembangkang di negara ini, tidak melemahkah semangat anggota Barisan Nasional (BN) untuk lebih bersatu dalam menghadapi setiap cabaran yang ada.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, usaha menubuhkan blok-blok seperti itu bukanlah perkara baru dan ia akan diteruskan oleh kalangan tertentu. 


Beliau berkata, Malaysia berada dalam persekitaran politik yang tidak menghalang mana-mana pihak tetapi mereka perlu fikirkan bahawa itu bukan hanya satu-satunya blok pembangkang yang ditubuhkan.

“Dari segi analisis kita, kalau mereka nak buat buatlah tetapi itu tidak bermakna ia akan melemahkan semangat anggota Barisan Nasional untuk lebih berpadu dalam menghadapi setiap cabaran yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan kuarters Kakitangan Kerajaan Lumut Kiri dan mendengar taklimat berhubung kerja-kerja pembinaan itu pada Jumaat. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Beliau diminta mengulas  laporan akhbar mengenai  Tun Dr Mahathir yang merancang untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu  sebelum membentuk satu blok pembangkang di negara ini.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman kononnya parti baharu itu disokong oleh ahli UMNO dan ada ahli UMNO yang berminat, Dr Zambry berkata, permainan propaganda politik begitulah biasanya dimainkan oleh mereka yang akan membuat kenyataan-kenyataan sedemikian.

“Kalau dia berkata demikian maka dia perlu menunjukkan buktilah kepada kita,” kata beliau.


0 comments:

Post a Comment