a Jangan Abaikan Kontraktor Kecil – Dr Zambry ~ zambry.my

Saturday, July 30, 2016

Jangan Abaikan Kontraktor Kecil – Dr Zambry

Syarikat kontraktor besar di negeri ini disaran agar tidak melupai peranan kontraktor-kontraktor kecil, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya, kontraktor kecil seharusnya diberi peluang melibatkan diri serta bekerjasama dalam projek-projek besar agar mereka dapat menimba pengalaman bagi menjadikan mereka lebih berdaya maju dalam bidang pembinaan.

“Persatuan kontraktor dan juga beberapa syarikat-syarikat besar (kontraktor) di negeri ini jangan lupa dan abai peranan kontraktor kecil yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum.


“Ianya bagi memastikan supaya aktiviti-aktiviti yang mereka ceburi ini akan mendatangkan pulangan yang baik kepada mereka selain memastikan mereka turut dapat berperanan dalam bidang pembinaan sekaligus menyumbang kepada pembangunkan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jamuan Hari Raya Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak sempena Majlis Perasmian Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJResidences@Meru, pada Khamis.

Turut hadir Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim.

Di majlis tersebut, Dr Zambry turut menyerahkan kunci rumah kedai dan apartment kepada pembeli selain daripada merasmikan pejabat PKMM Perak.

Menteri Besar berkata, PKMM Negeri Perak telah berjaya menjadi model terbaik di kalangan persatuan PKMM di negara ini.
 PKMM Perak dijadikan model kerana mereka jalinkan hubungan dengan baik sekali bersama kerajaan kerajaan.

“Selain membantu kerajaan negeri dalam memberi nasihat serta pandangan-padangan, PKMM juga dilihat berjaya dalam memastikan kontraktor-kontraktor dalam Perak dapat berperanan dengan lebih baik lagi,” jelasnya.

Beliau turut memuji usaha PKMM Perak yang membangunkan Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJ Residences secara kerjasama dengan kontraktor daripada pelbagai latarbelakang kaum.

“Walaupun ianya atas daya usaha PKMM Perak, tetapi ia tidak bermakna orang lain tidak boleh memiliki atau terlibat membangunkannya. Ini adalah contoh ‘partnership’ yang terbaik antara kaum,” katanya.

0 comments:

Post a Comment