a August 2014 ~ zambry.my

Sunday, August 31, 2014

Pelihara Keamanan Negara – Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak agar mengekalkan kemanan negara yang sedia terbina supaya terhindar daripada kejadian yang tidak diingini seperti yang berlaku di beberapa negara bergolak.
Beliau berkata, kemerdekaan yang dicapai selama 57 tahun telahpun disulami dengan pelbagai anjakan kemajuan, daripada sebuah negara pertanian menjadi sebuah negara industri.
Menurut beliau, adalah menjadi impian semua pihak untuk memastikan kebebasan dan kemerdekaan ini dikekalkan, tanpa sebarang kekacauan yang boleh menganggu gugat masyarakat di dalam negara ini.
"Kehadiran pelbagai masyarakat daripada latar belakang dan bangsa untuk menyambut kemerdekaan negara, khususnya di Perak menunjukkan betapa tebalnya rasa cinta dan sayang kepada negara.
"Tidak ada maknanya sebuah negara yang merdeka tetapi rakyatnya hidup derita oleh kerana mereka saling bantah dan bertelingkah antara satu sama lain seperti yang terjadi di beberapa buah negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Jamuan Makan Tengahari dan Penyampaian Hadian sempena perarakan dan perbarisan Hari Kemerdekaan Negara ke-57 Peringkat Negeri Perak pada Ahad.
Dr Zambry menambah, sambutan kemerdekaan kali ini diraikan secara sederhana sebagai tanda menghormati tempoh berkabung dan peristiwa MH17 dan MH370.
"Sambutan kemerdekaan kali ini disambut secara sederhana, walapupun begitu ianya tetap meriah dengan penglibatan semua kaum pelbagai bangsa dan agama," kata beliau.
Di majlis tersebut, beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori kawad terbaik yang melibatkan penyertaan daripada jabatan Kerajaan, Pejabat Daerah dan Tanah, Badan Berkanun,Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah.
Johan bagi kategori kawad terbaik dan pakain terbaik keseluruhan diraih oleh kontinjen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), bagi kategori Pejabat Daerah dan Tanah dimenangi oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.
Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah Ipoh berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori Kawad Terbaik Peringkat IPTA, kategori sekolah pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit.
Johan membawa pulang RM3,000 beserta sijil manakala RM2,000 bagi naib johan dan RM1,000 untuk tempat ketiga buat setiap kategori.

Friday, August 29, 2014

505 Terima Pinjaman Pengajian Tinggi

Kerajaan negeri menyalurkan pinjaman berjumlah RM3.1 juta kepada 505 orang anak Perak yang ingin melanjutkan penganjian di institusi pengajian tinggi tahun ini
Cek-cek sumbangan disampaikan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada satu majlis khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, petang Rabu.
Menteri Besar di dalam ucapannya berkata, ia adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu pelajar dari negeri ini untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Katanya, usaha itu juga selari dengan agenda kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai sebuah negeri yang berasaskan ilmu pengetahuan (knowledge state).
Menurut Dr Zambry, beliau akan sentiasa memastikan pelajar yang cemerlang di dalam bidang pendidikan terus dibela dan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran.
"Saya faham akan situasi yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran, saya sendiri pernah merasainya dahulu.
"Saya akan pastikan tiada lagi masalah sebegitu akan terjadi di negeri ini," kata beliau.
Daripada jumlah pelajar yang menerima pinjaman itu, 250 orang adalah pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, 231 Ijazah Sarjana Muda, 19 Sarjana dan 5 Doktor Falsafah.
Pada majlis itu empat pelajar telah menerima anugerah pinjaman boleh kepada biasiswa setelah mendapat kuputusan cemerlang dalam kursus yang diambil.
Empat pelajar ijazah sarjana muda tersebut ialah Farahusna Mohamed Yusop dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Syuhairah Pahrulrazi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Chandran Munusamy dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Tay Kok Wai dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Thursday, August 28, 2014

Klinik Bergerak Menteri Besar Di Slim River

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib akan mengadakan Hari Bertemu Rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Slim di Bangunan UMNO Bahagian Tanjung Malim, Slim River pada Jumaat ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Ipoh pada Rabu, serentak dengan itu, akan diadakan bersama pembukaan kaunter khidmat pelanggan, Klinik Bergerak Menteri Besar.
Orang ramai di kawasan sekitar yang ingin mendapatkan khidmat di klinik tersebut di jemput hadir antara jam 9 pagi hingga 1 tengahari.

Tanah Rezab KTMB Kuala Sepetang Untuk Penduduk Lama

Kerajaan negeri akan memastikan hanya penduduk yang menetap lama di atas tanah rezab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Sepetang sahaja diberikan tanah di kawasan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah meminta Pejabat Tanah dan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) membuat bancian bagi memastikan penduduk yang menetap lama di kawasan itu tidak teraniaya.
Menurut beliau, sepanjang proses untuk memberi tanah itu kepada rakyat, kerajaan mahu supaya ia diberikan dengan adil kepada mereka yang telah tinggal begitu lama di kawasan berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu, Menteri Besar mengimbau sejarah bagaimana beliau menghadapi masalah apabila pihak KTMB mendesak kerajaan negeri membayar RM30 juta untuk mengambil semula tanah itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau bertegas tidak mahu membayar sesen pun kerana merasakan ia adalah hak kerajaan negeri yang perlu dikembalikan demi untuk rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau tidak mahu mana-mana pihak cuba menimbulkan masalah serta merumitkan keadaan berhubung isu tanah rezab KTMB itu.
Beliau berkata, memang menjadi hasrat utama kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat.
"Dalam proses membuat bancian di kawasan berkenaan, tentunya pihak Pejabat Tanah dan Daerah akan mengenalpasti hanya mereka yang benar-benar layak sahaja untuk diberikan tanah di kawasan berkenaan," ujarnya.
Beliau diminta mengulas isu lebih 100 penduduk yang menduduki tanah rizab KTMB di sepanjang landasan Taiping - Kuala Sepetang sejak 40 tahun lalu, dikatakan kerugian lebih RM500,000 selepas ditipu tiga individu yang menjanjikan pemberian geran tanah yang mereka duduki.
Dr Zambry berkata, beliau juga menerima laporan bahawa terdapat tuan rumah yang memiliki hingga tiga buah rumah, di mana dua buah rumah disewakan kepada orang lain dan bagi tujuan perniagaan.
Beliau menganggap perbuatan tersebut sebagai satu perkara yang tidak baik sedangkan kawasan tanah itu adalah untuk tempat tinggal dan bukan untuk di buat perniagaan sehingga menafikan hak orang lain.

Wednesday, August 27, 2014

Dr Zambry Kutuk Perbuatan Pasangan Separuh Bogel

Kerajaan Negeri Perak mengutuk sekeras kerasnya perbuatan insiden model lelaki dan wanita memperagakan pakaian dalam keadaan separuh bogel di tempat awam pagi Isnin sehingga mengemparkan Bandaraya Ipoh.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak atau individu yang cuba mencemarkan imej negeri ini dengan melakukan perbuatan tidak senonoh termasuk memperagakan pakaian menjolok mata secara terbuka.
Katanya perbuatan mereka jelas melanggar adab serta tidak menghormati budaya pelbagai kaum di negeri ini.
Menurutnya kerajaan negeri telah pun dimaklumkan bahawa pihak polis sudah pun menjalankan siasatan tentang latar belakang mereka yang terbabit.
"Pihak polis telah memaklumkan kepada saya bahawa siasatan akan siap dalam tempoh terdekat. Kita mahu satu tindakan tegas dibuat terhadap mereka terlibat mengikut peruntukkan undang-undang yang ada," katanya.
Pagi Isnin Bandaraya Ipoh gempar apabila seorang lelaki dan wanita, dipercayai model, memperagakan pakaian dalam keadaan separuh bogel di tengah-tengah kesibukan lalu lintas di Jalan Sultan Yussuf di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, wanita tersebut hanya memakai bikini berwarna putih dan kain layah (veil) manakala pasangannya memakai seluar panjang berwarna hitam tanpa baju.
Difahamkan, pasangan terbabit bersama beberapa krew dipercayai menjalani sesi fotografi di lokasi tersebut.
Menteri Besar berkata tindakan mereka jelas bertentangan dengan prinsip ketatasusilaan masyarakat Malaysia.
"Mereka boleh anggap ini satu trend, perkara yang trendy terdapat dI beberapa buah negara tetapi ini Malaysia. Masyarakat kita tidak boleh terima perkara-perkara yang bertentangan dengan adab budaya negara kita yang berbagai kaum.
Kita perlu ada rasa hormat menghormati di antara satu sama lain," katanya.
Menjawab satu soalan, Menteri Besar berkata elemen sama ada perbuatan itu merupakan satu bentuk provokasi ataupun tidak bukanlah persoalan pokok yang harus dilihat tetapi perbuatan memperagakan pakaian separuh bogel amatlah bertentangan dengan norma norma tatacara dan tatasusila kehidupan rakyat di Malaysia.

Tuesday, August 26, 2014

Perak Belum Pasti Bebas Dadah Menjelang 2015

Kerajaan negeri setakat ini masih belum mendapat petunjuk yang jelas bahawa matlamat Perak bebas dadah menjelang tahun 2015 akan tercapai. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, secara peribadi beliau sendiri belum diyakinkan samada matlamat itu mampu dicapai. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memerangi dadah di negeri ini.

“Berpandukan kriteria, penanda aras antara penawaran dan permintaan serta perangkaan jumlah penyalahgunaan, pengedaran dan rampasan dadah, kita belum mendapat petunujuk jelas bahawa matlamat negeri Perak bebas dadah menjelang tahun 2015 akan tercapai,” katanya.

Dr Zambry menjawab soalan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) pada Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa. Beliau berkata, gejala penyalahgunaan dadah bukan sahaja berkisar soal penawaran dan permintaan dan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan, ia berangkai dan kompleks merentasi soal-soal ekonomi, pendidikan, nilai agama, akhlak, persekitaran dan sebagainya. Dalam hubungan ini, kata Menteri Besar, peranan semua pihak termasuk agensi kerajaan seluruh masyarakat amat penting dalam memerangi gejala dadah secara lebih berkesan.

“Kegagalan kita membanteras gejala ini dengan berkesan akan membawa padah kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Untuk itu, kata belau, kerajaan negeri dengan kerjasama semua agensi kerajaan seperti PDRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil langkah mengadakan pelbagai program kesedaran dan pencegahan penyalahgunaan dadah. Beliau juga memberitahu Dewan bahawa walaupun berlaku penurunan bagi bilangan orang kena pengawasan penagihan dadah bagi tahun 2013 iaitu seramai 7,145 orang (16.3 peratus), namun ia belum dianggap satu jaminan gejala ini akan berkurangan.

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat yang sama, Dr Zambry mengakui salah satu masalah penagihan yang dihadapi pada hari ini tertumpu juga dikawasan-kawasan nelayan. Katanya, selain daripada kawasan-kawasan Felda dan Felcra, masalah itu juga berlaku di kawasan nelayan, khususnya di kawasan pantai.

“Ini memberikan kesan yang sangat serius termasuk juga di kawasan saya di kawasan Pulau Pangkor, kawasan Hilir Perak, Pantai Remis, Kuala Kuala Sepetang, kawasan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang,” tambahnya.

Monday, August 25, 2014

Dr Zambry Yakin BN Pertahan Kerusi DUN Pengkalan Kubor

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin kemampuan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Pengkalan Kubor dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.
Dr Zambry yang juga merupakan Ahli Tertinggi UMNO berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi baik mantan ADUN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia Rabu lepas akibat kanser.
Katanya keyakinan itu juga adalah kerana Pengkalan Kubor merupakan kubu kuat BN sejak tiga penggal lepas.
"Walaupun peluang kita untuk menang amat cerah, namun kita mungkin akan gagal sekiranya tiada tindakan dibuat untuk mendaftarkan ahli UMNO sebagai pengundi.
Kalau jadi ahli UMNO tapi tak mengundi, ini satu kerugian besar. Maka kita mesti tentukan kemenangan kita berpandukan kepada pengundi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung UMNO Bahagian Kapar, Klang petang tadi.
Dr Zambry berkata sesuatu harus dilakukan bagi memastikan setiap ahli UMNO dan ahli yang menanggotai parti komponen BN mendaftar sebagai pengundi.
"Kita ada ahli ratusan ribu tapi ramai yang tak mendaftar Faktor ini merupakan punca mengapa di sesetengah kawasan itu yang patut kita menang tetapi kalah," katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Pilihan raya kecil yang akan diadakan di Selangor, Dr Zambry berkata BN mempunyai peluang untuk merampas kembali negeri itu sekiranya bersatu pada.
"Sekiranya menang, kita juga perlu pastikan kita mampu memperbaiki kelemahan yang ada pentadbiran kerajaan Selangor hari ini," katanya.

Saturday, August 23, 2014

Sultan Nazrin Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mangsa MH 17

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah telah mencemar duli untuk memberi penghormatan terakhir kepada dua jenazah mangsa tragedi MH17 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh hari ini.
Sultan Nazrin yang diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan kedua jenazah itu di lapangan terbang tersebut pada jam 12.10 tengah hari yang dibawa khas oleh pesawat TUDM.
Turut serta bersama baginda, Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A' Fifullah Shah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan , barisan Exco negeri Perak, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan orang-orang kenamaan.
Orang ramai yang terdiri daripada penduduk sekitar Ipoh turut datang beramai-ramai bagi menyaksikan upacara penuh sejarah itu.
Dua jenazah berkenaan, ialah Allahyarhamah Noor Rahimmah Mohd Noor dan mendiang Chong Yee Peng yang merupakan antara 20 jenazah rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pagi tadi (Jumaat).
Allahyarhamah Noor Rahimah Mohd Noor, 67, merupakan penumpang pesawat MH17 dan jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di tanah perkuburan kampung Masjid Lama, Tambun selepas solat Jumaat.
Sementara itu mediang Choong Yee Pheng, 41 merupakan pramugari pesawat MH17 dan upacara pengembumian mendiang akan semadikan di tanah perkuburan Cina, Bukit Kinding, Chemor, Perak.
Sementara itu jenazah ketua pramugari MH 17, Allahyarhamah Azrina Yakob, 41, akan dikebumikan di kampung suami allahyarhamah di tanah perkuburan Masjid Al Hidayah, Asam Kumbang Taiping.

Friday, August 22, 2014

Sultan Nazrin Cemar Duli Sambut Ketibaan Empat Mangsa MH17

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli menyambut ketibaan tiga jenazah dan seorang mendiang mangsa MH17 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada Jumaat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir memberitahu, baginda telah mengesahkan kepada beliau akan hadir di LTSAS bagi memberi penghormatan terhadap mangsa-mangsa nahas tersebut sebelum ianya dibawa ke kampung masing-masing bagi tujuan pengebumian.
Katanya juga, upcara sambutan itu juga turut boleh disertai oleh rakyat di negeri ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa nahas bekenaan.
Namun menurut beliau, waktu ketibaan jenazah dan mendiang tersebut masih tidak dapat dipastikan kerana ianya bergantung kepada waktu pelepasan jenazah dan mendiang tersebut dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KILA).
"Seperti yang disarankan juga pakaian perlu lah dipakai dengan warna yang gelap dan suram," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi lawatan kerja Timbalan Menteri Pengankutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi di LTSAS pada pagi Khamis.
Dr. Zambry juga memberitahu setakat ini hanya tiga jenazah yang akan di tiba di LTSAS dan bukan empat seperi yang dimumkannya semalam.

LTSAS Kembali Beroperasi Berita Baik Buat Perak - Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap pengisytiharan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh selamat digunakan sepenuhnya oleh pesawat temasuk Boeing 737 dan Airbus 320 sebagai berita baik buat rakyat negeri Perak.
Katanya, pengisytiharan itu yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi hari ini sekaligus membuktikan bahawa LTSAS selamat digunakan pada bila-bila masa.
"Ini merupakan satu berita yang cukup baik untuk rakyat Perak, terima kasih atas usaha yang dilakukan untuk mengembalikan semula Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah kepada keadaan biasa dan boleh digunakan oleh semua pesawat.
"Kita ingin membuktikan bahawa lapangan terbang ini selamat untuk digunakan dan semua pihak tidak lagi ragu-ragu sama ada jenis pesawat apa yang boleh mendarat di sini,'' katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengiringi lawatan kerja Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi di LTSAS, Ipoh pada Khamis.
Kepada soalan pemberita, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri telah menerima beberapa pertanyaan dan cadangan daripada beberapa syarikat penerbangan luar untuk menggunakan LTSAS termasuk Malindo Air.
Menurut beliau, Malindo Air telahpun mengemukakan cadangan mereka untuk memulakan penerbangan daripada Ipoh ke beberapa destinasi yang ada termasuk ke Subang, Medan dan Johor Bahru.
Katanya, beliau juga telah menerima beberapa permintaan malah dalam perbincangan dengan Duta Cina yang berkunjung ke Perak baru-baru ini turut membincangkan mengenai perkara itu.

Wednesday, August 20, 2014

Mangsa Tragedi MH17: Sambutan Negeri Di LTSAS

Kerajaan negeri Perak akan mengadakan majlis sambutan empat jenazah dan mendiang mangsa tragedi MH17 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh pada Jumaat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir memberitahu, beliau bersama semua barisan Exco kerajaan negeri akan menyambut ketibaan jenazah dan mendiang itu sebagai tanda penghormatan di peringkat negeri.
Menurut beliau, kesemua jenazah dan mendiang itu akan diterbangkan dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum dibawa menaiki pesawat khas ke LTSAS.
Katanya, sebaik tiba di LTSAS, jenazah dan mendiang tersebut akan dibawa ke kawasan masing-masing melalui jalan darat iaitu dua di Ipoh, satu di Teluk Intan dan satu lagi di Taiping.
"Kerajaan negeri akan menyambut dengan secara ringkas dan semua jenazah dan mendiang itu kemudiannya akan diiringi melalui persiapan yang telah dibuat oleh negeri ke lokasi masing-masing," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Perak Perkasa JKKK Untuk Perangi Dadah

Peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negeri akan diperkasakan bagi membendung masalah dadah di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir memberitahu, kesemua JKKK di negeri ini akan diberi terma rujukan dan tugas tambahan untuk memastikan kawasan mereka bebas daripada dadah.
Menurut beliau, terma baru itu nanti bukan sahaja akan melibatkan kampung tradisional Melayu tetapi turut melibatkan JKKK Kampung Baharu.
Jelas Dr. Zambry, langkah itu diambil setelah Kerajaan negeri memutuskan agenda memerangi dadah sebagai salah satu agenda utama dalam usaha memastikan pelan transformasi Perak Aman Jaya dapat dicapai.
Selain itu, menurut beliau, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivi, Datuk Samsudin Abu Hassan juga akan diwujudkan bagi membincangkan langkah pencegahan serta program yang menggalakkan golongan muda agar cederung kepada gaya hidup sihat.
"Kerajaan negeri memandang serius isu penagihan dadah dan pengedaran dadah di negeri Perak ini meskipun kita lihat dari segi tangkapan semakin berkurangan,
"Tetapi dari segi kadar penggunaan jenis-jenis dadah adalah ditahap membimbangkan kita, jadi sesuatu perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Pada sidang media itu, Menteri Besar turut sempat memberi sumbangan kepada adik Puteri Rabiatul Adawiyah Mat Zaki, tujuh tahun yang akan mewakili negara dalam Kejohanan Catur Remaja Ke 10 Asia di Tai Chung, Taiwan pada 23 Ogos.
Sumbangan bernilai RM 5,000 itu diberi sebagai tanda sokongan dan dokongan kerajaan negeri untuk menanggung sebahagian kos penyertaan dan perbelanjaanya sepanjang kejohanan itu berlangsung nanti.

Hukuman Maksima Terhadap Pencuri Peralatan Komunikasi, Kabel

Kerajaan negeri meminta pihak berkuasa mengenakan hukuman maksima terhadap pencuri peralatan komunikasi dan kabel yang didapati bersalah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah diminta mempertingkatkan kawalan dan menangkap pencuri-pencuri tersebut dengan kadar segera untuk dibawa ke muka pengadilan.
Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius kes kecurian peralatan komunikasi dan kabel kerana ia telah menyebabkan kadar penembusan jalur lebar di negeri ini semakin menurun.
Beliau berkata, Perak telah mencatatkan sejumlah 2,014 kes kecurian kabel dengan nilai kerugian mencecah RM 7.23 juta ringgit tahun lalu, iaitu kedua tertinggi selepas Selangor.
Katanya lagi, statistik tahun ini pula menunjukkan kes kecurian tersebut semakin menjadi-jadi apabila mencatat peningkatan dengan jumlah kerugian telah mencecah RM 5 juta setakat ini sahaja.
"Bukan tiada tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menambah kadar peneterasi jalur lebar di negeri ini tetapi ia adalah berpunca daripada kadar kecurian yang menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
"Mereka yang melakukan perkara ini adalah manusia yang paling tidak bertanggungjawab, paling tidak memikirkan kesejahteraan masyarakat rakyat di negeri ini," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr. Zambry juga menyeru kesemua jawatankuasa penduduk di Perak untuk bersama-sama membantu kerajaan mencegah masalah tersebut.
"Saya minta jawatankuasa penduduk, bersama-sama kita untuk memerhati dan menangkap mereka ini untuk dibawa kepada pihak berkuasa," katanya.

Generasi Muda Disaran Hayati Sejarah Ketamadunan Islam

Generasi muda hari ini disaran menghayati sejarah dan ketamadunan serta kegemilangan Islam agar mereka lebih bersiap sedia menjadi pewaris kepada kepimpinan Islam akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata gologan muda ini bagaimanapun perlu diberi bimbingan yang sewajarnya dari sekarang bagi membentuk pemikiran berlandaskan syariat Islam.
" Anak-anak dihadapan kita inilah yang bakal menentukan pemimpin negara di masa hadapan.
"Oleh itu penganjuran WCIT ini dapat memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai perkembangan dunia Islam masa kini yang kian mencabar.
"Kita perlu berfikir bersama-sama, bergerak ke hadapan dan terus membina tamadun Islam," katanya semasa merasmikan majlis penutupan Persidangan Dunia Mengenai Pemikiran Islam dan Ketamadunan di Hotel Casuarina @ Meru di Ipoh pada Selasa.
Sehubungan itu, kata Dr Zambry, penganjuran WCIT merupakan medium penting bagi akademik selain mempunyai potensi dalam membentuk pemikiran generasi muda.
Persidangan dua hari itu yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) bertemakan "The Rise and Fall of Civilization'' dihadiri lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara.
Hadir sama, Rektor KUISAS, Tan Sri Dato' Dr. Nordin Kardi dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr Muhammad Amin Zakaria.
Sebanyak 200 kertas kerja dalam lima sesi pembentangan telah membincangkan pelbagai aspek dan isu berkenaan perkembangan tamadun Islam pada kali ini.
Seminar kali ini berjaya menghimpunkan para peserta dari negara-negara Islam antaranya Algeria, Mesir, Jordan dan Yaman dan Arab Saujdi yang membincangkan pelbagai isu berkenaan tamadun Islam dan kepentingan elemen pendidikan dan teknologi.

Jenazah MH17 - 'Kita Rujuk Ahli Keluarga Mangsa' -Dr Zambry

Kerajaan negeri akan merujuk kepada ahli keluarga mangsa tragedy pesawat MH17 terlebih dahulu sebelum memutuskan keperluan mengadakan upacara bagi menyambut tiga jenazah yang bakal disemadikan di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara tersebut perlu bagi menghormati keutamaan ahli keluarga mangsa yang akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat ini bagi menyambut ketibaan jenazah dari Amsterdam.
"Di peringkat kerajaan negeri, kita akan berbincang dengan ahli keluarga secepat mungkin. Ini perlu didahulukan kerana mereka adalah ahli keluarga mangsa dan ini melibatkan keluarga mereka.
"Mungkin ada keluarga nak yang nak terus bawa ke kampung masing-masing secepat mungkin yang boleh untuk disemadikan dan manakala mungkin kita boleh buat sedikit upacara di lapangan terbang nanti," katanya.
Menurut Dr. Zambry lagi, kerajaan negeri kini sedang menunggu taklimat terakhir yang akan diberikan oleh kerajaan pusat berhubung perkara itu sebelum apa-apa keputusan rasmi boleh dibuat.

Kerajaan Pandang Serius Kemajuan Projek Di Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri akan mempastikan semua projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini berjalan dengan lancar berada di tahap yang memuaskan.
Menurut beliau, keprihatinan kerajaan itu bukan sahaja tertumpu kepada projek di kawasan tertentu, malah meliputi seluruh negeri.
Bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pangkor pada Ahad, beliau berkata, lawatan itu bukanlah kali pertama, malah sebelum inipun beliau telah memantau beberapa kawasan projek lain seperti di Sungai Siput.
"Dengan cara ini juga saya berpeluang melihat sendiri tahap perkembangan untuk setiap projek yang dilaksanakan," katanya.
Menteri Besar memaklumkan projek-projek di bawah kelolaan kerajaan Persekutuan serta sumber daripada kerajaan negeri sendiri turut diberikan perhatian serius bagi memastikan ianya tidak terbengkalai.
"Kita juga dapat memantau dan mengesan projek 'sakit' yang memerlukan 'rawatan' dengan segera kerana kita tidak mahu ia terbengkalai sehingga tidak dapat menyediakan satu prasarana untuk kegunaan rakyat," tambahnya.
Dalam lawatan kerja itu, beliau berkesempatan meninjau beberapa tapak projek seperti padang bola sepak sintetik SMK Pulau Pangkor, tapak perumahan Jabatan Kerja Raya (JKR), pembinaan sekolah tahfiz Teluk Gedong dan blok pangsapuri kos sederhana 7 tingkat di Pasir Bogak.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Zamri Man, pegawai-pegawai kanan dan beberapa wakil daripada jabatan yang terlibat.

Perak Tengah Dapat Pegawai Daerah Baharu

Bekas Timbalan Pengarah dan Galian Perak, Mad Dan Hassan dilantik sebagai Pegawai Daerah Perak Tengah yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir memberitahu, selain memegang jawatan Pegawai Daerah, Mad Dan juga memegang jawatan sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis daerah tersebut.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberi amanat kepada Mad Dan untuk memberi perhatian khusus terhadap pembangunan di daerah itu memandangkan pembangunan di situ sedang rancak membangun.
"Saya sudah mengarahkan beliau untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanatkan secara telus dan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan kerana kita tidak mahu dasar kerajaan lewat dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pegawai Daerah baharu itu di pejabatnya pada Jumaat.
Menteri Besar berkata, Mad Dan juga telah diberitahu untuk sentiasa berada di lapangan dan kawasannya bagi tujuan memudahkan lagi rakyat yang tinggal di daerah itu.
Sementara itu, Mad Dan yang ditemui merakamkan penghargaan terhadap kepercayaan yang diberi oleh kerajaan negeri di atas perlantikkan beliau itu.
"Saya akan pastikan apa hasrat kerajaan negeri akan dilaksanakan dengan baik dan saya akan pastikan Perak Tengah akan terus membangun," ujarnya.

302 Peserta Dijangka Sertai WCIT2014

Seramai 302 peserta tempatan dan luar negara akan menyertai Persidangan Dunia Mengenai Pemikiran dan Ketamadunan Islam (WCIT) 2014 yang akan berlangsung di Hotel Casuarina @ Meru pada 18 dan 19 Ogos ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Shah akan merasmikan persidangan itu.
Menurut beliau, ia dikuti dengan ucaptama kedua yang akan disampaikan oleh Rektor Universiti Fatih, Turki, Prof. Dr Sarif Ali yang juga Pengerusi Persatuan Antarabangsa Universiti-Universiti Turki mengenai peranan wakaf dalam Tamadun Islam.
Beliau berkata, persidangan anjuran Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) itu yang diadakan buat kali kedua di Ipoh memilih tema 'Kebangkitan dan Kejatuhan Ketamadunan Hal Ehwal Negara Islam Masa Kini'.
"Tema ini dipilih kerana ia menyentuh elemen pengurusan ekonomi dan politik iaitu dua unsur penting yang menentukan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah tamadun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Khamis.
Menurut Dr Zambry, persidangan itu diadakan bagi menghimpunkan para pemikir dan ahli akademik bagi berkongsi idea dan pandangan mengenai segala bentuk pengetahuan dan isu-isu dari perspektif Islam.
"Ia juga akan mengupas soal-soal permasalahan ummah serta isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam dunia," tambahnya.
Menteri Besar berkata, selain ucaptama, pihak KUISAS telah menerima sebanyak 447 abstrak dan 304 kertas kerja yang akan dibentang dan dibincangkan pada persidangan itu.
Beliau memberitahu, peserta luar yang akan hadir adalah dari Algeria, Botswana, Mesir, Indonesia, Jordam, Libya, Nigeria, Pman, Pakistan, Arab Saudi, Tunisia dan Yemen.

Kontraktor Gagal Siapkan Projek Akan Diberhentikan

Kerajaan Perak memberi amaran akan menamatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor yang didapati gagal untuk menyiapkan projek-projek pembangunan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompomi dengan mana-mana kontraktor 'malas' yang lewat menyiapkan projek mengikut jadual.
Menurut beliau, kerajaan faham, jika kadar kelewatan sekitar lima peratus tetapi tidak dapat menerima alasan sekiranya kelewatan mencecah sehingga 60 atau 70 peratus.
"Kita arahkan mereka ini diberhentikan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kontraktor-kontraktor malas atau kontraktor yang tidak melaksanakan projek mengikut jangka waktu yang ditetapkan," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Menurut Menteri Besar, daripada pemerhatian kerajaan negeri, didapati kelewatan projek yang berlaku disebabkan kelembapan pihak kontraktor yang mungkin disebabkan masalah mereka sendiri.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan Pusat memberi pertimbangan sewajarnya kepada kontraktor tempatan bagi melaksanakan projek-projek Persekutuan di negeri ini, kecuali kontraktor luar yang mempunyai kepakaran dan pengalaman tinggi.
Katanya, kerajaan negeri mendapati terdapat projek Persekutuan yang dilaksanakan kontraktor luar yang juga tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan sesuatu projek di kawasan tertentu di Perak.
"Kita difahamkan tidak semua kontraktor mempunyai kepakaran tinggi, maka kita membenarkan untuk dibincangkan tetapi secara amnya kita berharap Pusat dapat memberi perhatian sewajarnya bagi mengelak daripada berlaku kelewatan pelaksanaan projek," ujarnya.

Timbang Semula Permohonan Perak Bina Lapangan Terbang Baharu

Kerajaan Persekutuan diminta menimbang semula permohonan kerajaan negeri Perak untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana Perak merupakan negeri pertama yang mengemukakan permohonan tersebut, selepas mengambil kira kedudukan lapangan terbang di Pulau Pinang.
Menurut beliau, permohohonan itu juga merupakan inisiatif pertama kerajaan negeri Perak dengan pihak swasta.
Katanya, kerajaan negeri Perak telah menyiapkan pelan serta cadangan dan sudah membuat pengumuman pada 2010 mengenai hasrat untuk membina lapangan terbang baharu di Lembah Beriah yang terletak di utara Perak.
"Kita harap sekiranya kerajaan Persekutuan ingin memberi pertimbangan kepada negeri-negeri lain yang bersempadan dengan Perak, maka kita juga meminta supaya permohonan kita untuk membina sebuah lapangan terbang baharu dipertimbangkan dengan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzan, Ipoh pada Khamis.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Kedah mengumumkan kesediaan mereka untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di negeri berkenaan.
Menurut Dr Zambry, memandangkan kerajaan Persekutuan sedang membuat pertimbangan berhubung isu tersebut, beliau tidak mahu memberi penekanan yang keterlaluan terhadapnya.

Perak Ambil Tindakan Tamat Kontraktor Lewat Siapkan Projek

Kerajaan Perak mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor yang didapati gagal untuk menyiapkan projek-projek pembangunan mengikut tempoh dan tarikh yang ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompomi dengan mana-mana kontraktor yang 'malas; atau kontraktor yang lewat menyiapkan projek mengikut jadual dan tempoh yang ditetapkan.
Menurut beliau, kerajaan faham kalau sekiraya ada kelewatan sekitar 5 peratus dan sebagainya tetapi kalau sekiranya sebuah projek itu terlalu lewat sehingga 60 peratus hingga 70 peratus maka kerajaan tidak dapat menerima alasan kontraktor yang terbabit.
''Kita arahkan mereka ini diberhentikan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kontraktor-kontraktor malas atau kontraktor yang tidak melaksanakan projek mengikut jangka waktu yang ditetapkan.'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Menurut beliau, dari pemerhatian kerajaan negeri mendapati kelewatan projek yang berlaku disebabkan kelembapan pihak kontraktor dan kelewatan mereka yang mungkin disebabkan masalah mereka sendiri.
Dr Zambry juga meminta Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan yang sewajarnya bagi melantik kontraktor-kontraktor tempatan untuk mengendalikan projek-projek yang berkaitan dengan projek Persekutuan melainkan kontraktor luar terbabit mempunyai pengalaman tinggi.
Katanya, ini kerana kerajaan negeri dapati terdapat projek Persekutuan yang dilaksanakan kontraktor luar tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan sesuatu projek di kawasan tertentu dalam negeri Perak.
''Kita difahamkan tidak semua kontraktor mempunyai kepakaran tinggi maka kita membenarkan untuk dibincangkan tetapi secara amnya kita berharap Pusat dapat memberi perhatian sewajarnya bagi mengelak daripada berlaku kelawatan pelaksanaan projek.'' katanya.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri bertegas dan memandang serius berhubung isu kelewatan menyiapkan projek pembangunan ini kerana tidak mahu melihat rakyat menganggapnya sebagai projek 'gajah putih'.

Ketua Kampung Baru Sambut Baik Peringatan Dr Zambry

Ketua kampung baru menyambut baik peringatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya mereka tidak 'syok sendiri' dan menganggap jawatan itu satu keistimewaan, sehingga gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.
Mereka sependapat bahawa peringatan itu bukan sahaja ditujukan kepada ketua-ketua kampung tradisional, malah juga kepada mereka, ketua-ketua kampung baru agar sentiasa menjaga imej baik kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut mereka, peringatan itu sebagai satu cabaran dan realiti yang harus dihadapi oleh ketua kampung dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Kampung Baharu Pulau Pasir Hitam, Taiping, Oo Thian Hock, 59, berkata, sebagai ketua kampung, mereka diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan berkesan.
"Saya tidak menganggap menjadi ketua kampung merupakan satu keistimewaan tetapi saya berazam untuk terus membantu menyelesaikan permasalahan rakyat seperti masalah perparitan, longkang tersumbat dan banjir di kawasan saya," katanya.
Ketua Kampung Salak Utara, Sungai Siput, Khoo Lai Huat, 45, pula berkata, peringatan Dr Zambry itu akan dijadikan panduan untuknya memberi khidmat yang terbaik, di samping menjaga imej kerajaan BN yang sentiasa menjaga kebajikan semua kaum di negeri ini.
"Walaupun kali pertama dilantik menjadi ketua kampung, saya berjanji untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan yang saya wakili," ujarnya.
Ketua Kampung Baru Beruas, Ong Mee Lin, 47, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepadanya menjadi kumpulan pertama wanita menjadi ketua kampung.
"Terima kasih kepada kerajaan BN yang melantik saya sebagai ketua kampung dan ini merupakan satu pengiktirafan dan kepercayaan kerjaaan terhadap kaum wanita," katanya.
Beliau tekad menerima cabaran itu dan dalam masa yang sama berazam akan menunjukkan tauladan baik semasa melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

Friday, August 15, 2014

Dr Zambry Terima Kunjungan Duta Besar China

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia Dr. Huang Huikang di pejabatnya di Ipoh pada pagi Jumaat.
Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Menteri Besar dan Dr. Huang telah bertukar-tukar pendapat mengenai isu semasa dalam dan juga luar negara.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Dr. Zambry memberitahu, China dan Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dan kunjungan itu adalah sempena ulang tahun yang ke-40 hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, pada pertemuan itu juga, beliau sempat membincangankan mengenai langkah untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.
Dr. Huang pula memberitahu kunjungan hormat itu merupakan usaha kerajaan China untuk merapatkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara.
"Selepas kunjungan yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia ke China pada Mei lepas, pihak kami kini komited dalam mengeratkan lagi hubungan diplomasi ini," ujarnya.
Menurut beliau, China memberi kerjasama terhadap Malaysia dalam segala bidang, termasuk juga memberi sokongan terhadap Malaysia untuk mempunyai peranan yang lebih besar di pentas antarabangsa.

Thursday, August 14, 2014

Malindo Air Bakal Beroperasi Di LTSAS

Pembangunan ekonomi yang pesat menjadi faktor utama syarikat penerbangan terkemuka Malindo Air memilih Perak sebagai salah satu landasan operasinya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu merupakan salah satu langkah dalam penjanaan pelan pelaburan dalam industri penerbangan dan pelancongan di negeri Perak.
"Malindo Air kini mula menyedari perkembangan ekonomi yang begitu rancak di Perak dan atas sebab ini mereka menjadi positif untuk memilih Perak sebagai salah satu tempat aktiviti penerbangan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna SUK pada Rabu.
Dr Zambry berkata, Malindo Air bercadang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) untuk operasi ke beberapa destinasi antarabangsa seperti Indonesia dan di sekitar Asia Tenggara yang akan dimaklumkan kelak.
"Kita akan memperhalusi lagi perkara ini bersama dengan pegawai bertanggungjawab yang lebih arif dalam bidang dan kaedah industri penerbangan kerana perkara ini masih lagi memerlukan perincian teliti sebelum diluluskan sepenuhnya," katanya.
Tambahnya, pihak Malindo Air mengemukakan cadangan mereka untuk menggunakan pesawat jenis ATR-70 dan Boeing di dalam jadual penerbangannya.
"Kita berharap sekiranya semua berjalan dengan lancar kita akan memulakan kerjasama dengan pihak Malindo Air ini dengan serta-merta," ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Rama Chandran Muthy dan Pengarah Komunikasi Korporat Malindo Air, Raja Saadi Raja Amrin di pejabatnya.
Pada bulan lepas, Dr Zambry mengumumkan LTSAS di Ipoh, yang sebelum ini berdepan masalah lubang benam, selamat dan kini boleh beroperasi seperti biasa.

Perak Negeri Pertama Lantik Wanita Sebagai Ketua Kampung

Perak menjadi negeri pertama di negara ini yang mengetengahkan calon wanita sebagai ketua Kampung Baru.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, daripada seramai 152 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kampung baharu yang dilantik, 11 orang adalah kaum wanita.
Katanya, kesemua mereka dilantik bagi sesi 2014 hingga 2015 dengan harapan dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
"Saya berharap dengan pelantikan seramai 152 ketua kampung ini, mereka akan dapat memberi perkhidmatan terbaik keapda rakyat di kawasan-kawasan Kampung Baru,'' Katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas men yampaikan watikah pelantikan JKKK b agi Kampung Baharu Negeri Perak Sesi 2014-2015 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau turut mengingatkan mereka supaya men jadi ketua kampung yang efektif dan pantas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Katanya, mereka yang tidak mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan yang mereka wakili akan digantikan dengan ketua kampung yang baharu.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan ketua-ketua kampung baharu yang dilantik supaya menjaga imej kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sebenarnya mewakili imej kerajaan.
"Kalau buruk perangai mereka maka buruklah akan dianggap perangai kerajaan BN.'' Katanya.

Jangan Beri Gambaran Buruk Terhadap Kerajaan BN

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta ketua-ketua kampung baharu di negeri ini tidak memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai ketua kampung ialah untuk memperjelaskan kepada rakyat tentang dasar kerajaan BN yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat semua kaum di negara ini.
"Paling penting dasar parti, dasar BN kita adalah paling baik untuk rakyat jadi bekerjalah untuk rakyat, berilah imej yang baik kepada kerajaan BN," katanya.
Belau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 152 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Kampung Baharu Negeri Perak sesi 2014-2015 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Rabu.
Beliau juga meminta ketua-ketua kampung baharu yang dilantik supaya menunjukkan tauladan yang baik dengan mengubah sikap serta perangai, selaras dengan imej parti dan BN yang membela kebajikan semua kaum dan masa depan rakyat.
Dr Zambry mengakui memang terdapat sedikit kelemahan dan kekurangan yang mungkin berlaku di dalam BN tetapi kelemahan dan kekurangan itu telah diperbetulkan agar rakyat terus memberikan sokongan dan kepercayaan.
Beliau yang juga Pengerusi BN Perak turut menjelaskan kriteria pemilihan ketua-ketua kampung, antaranya menetapkan peraturan umur calon yang dilantik kurang daripada 65 tahun.
"Kalaupun mereka mempunyai kesihatan yang baik dan sebagainya tetapi memandangkan peraturan baru telah ditetapkan, maka pelantikan calon ketua kampung itu mestilah berada pada usia 65 tahun ke bawah," ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Menteri Besar berharap kesemua 152 ketua kampung baharu berkenaan dapat terus memberikan khidmat terbaik mereka kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Wednesday, August 6, 2014

Dr Zambry Rimas 'Dikipas'

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak bercakap benar dan tidak mengipas beliau dengan perkhabaran berita baik-baik belaka sedangkan hakikat sebaliknya.
Katanya, beliau agak rimas apabila menerima sistem pesanan ringkas (SMS) yang gemar mengipasnya sepanjang masa berhubung kadar kemiskinan di Perak.
"Kadang-kadang saya rimas apabila menerima SMS suka kipas sepanjang masa, cakap benar apa yang boleh kita buat, bagaimana kita boleh perbaiki diri kita kerana kita manusia mungkin ada kelemahan-kelamahan," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) Fasa 1 Negeri Perak di Hotel Casuari @ Meru, Ipoh pada Selasa.
Beliau gembira kerana kerajaan mengambil langkah merombak kaedah model pembasmian kemiskinan di negeri ini dengan menubuhkan Yayasan Bina Upaya (YBU) tanpa menidakkan peranan yang dimainkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam membasmi kemiskinan.
Dr Zambry berkata, YBU kini sudah menjadi model rujukan, bukan sahaja dalam negeri bahkan luar negeri kerana peranan berkesannya dalam membantu golongan miskin di negeri ini.
"Kaji selidik dari Howard dan Nigeria datang ke sini untuk melihat model YBU yang bukan hanya membasmi kemiskinan, malah bagaimana memperkasakan golongan miskin daripada lingkaran kemiskinan," ujarnya.
Beliau turut mendedahkan peringkat awal Perak Amanjaya ketika diuar-uarkan menerima kritikan sinis tetapi akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Mengenai RMK11 yang akan dilaksanakan tahun depan, katanya, kerajaan negeri akan membuat analisis dengan mendapatkan pandangan serta idea daripada semua pihak temasuk jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta di negeri ini.
"Kerajaan negeri penuh yakin dalam melaksanakan RMK11 ini, ia memerlukan pengembelingan tenaga bersama semua pihak dan bukannya satu pihak," katanya.