a Jangan Beri Gambaran Buruk Terhadap Kerajaan BN ~ zambry.my

Thursday, August 14, 2014

Jangan Beri Gambaran Buruk Terhadap Kerajaan BN

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta ketua-ketua kampung baharu di negeri ini tidak memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai ketua kampung ialah untuk memperjelaskan kepada rakyat tentang dasar kerajaan BN yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat semua kaum di negara ini.
"Paling penting dasar parti, dasar BN kita adalah paling baik untuk rakyat jadi bekerjalah untuk rakyat, berilah imej yang baik kepada kerajaan BN," katanya.
Belau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 152 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Kampung Baharu Negeri Perak sesi 2014-2015 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Rabu.
Beliau juga meminta ketua-ketua kampung baharu yang dilantik supaya menunjukkan tauladan yang baik dengan mengubah sikap serta perangai, selaras dengan imej parti dan BN yang membela kebajikan semua kaum dan masa depan rakyat.
Dr Zambry mengakui memang terdapat sedikit kelemahan dan kekurangan yang mungkin berlaku di dalam BN tetapi kelemahan dan kekurangan itu telah diperbetulkan agar rakyat terus memberikan sokongan dan kepercayaan.
Beliau yang juga Pengerusi BN Perak turut menjelaskan kriteria pemilihan ketua-ketua kampung, antaranya menetapkan peraturan umur calon yang dilantik kurang daripada 65 tahun.
"Kalaupun mereka mempunyai kesihatan yang baik dan sebagainya tetapi memandangkan peraturan baru telah ditetapkan, maka pelantikan calon ketua kampung itu mestilah berada pada usia 65 tahun ke bawah," ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Menteri Besar berharap kesemua 152 ketua kampung baharu berkenaan dapat terus memberikan khidmat terbaik mereka kepada rakyat di kawasan masing-masing.

0 comments:

Post a Comment