a 302 Peserta Dijangka Sertai WCIT2014 ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

302 Peserta Dijangka Sertai WCIT2014

Seramai 302 peserta tempatan dan luar negara akan menyertai Persidangan Dunia Mengenai Pemikiran dan Ketamadunan Islam (WCIT) 2014 yang akan berlangsung di Hotel Casuarina @ Meru pada 18 dan 19 Ogos ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Shah akan merasmikan persidangan itu.
Menurut beliau, ia dikuti dengan ucaptama kedua yang akan disampaikan oleh Rektor Universiti Fatih, Turki, Prof. Dr Sarif Ali yang juga Pengerusi Persatuan Antarabangsa Universiti-Universiti Turki mengenai peranan wakaf dalam Tamadun Islam.
Beliau berkata, persidangan anjuran Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) itu yang diadakan buat kali kedua di Ipoh memilih tema 'Kebangkitan dan Kejatuhan Ketamadunan Hal Ehwal Negara Islam Masa Kini'.
"Tema ini dipilih kerana ia menyentuh elemen pengurusan ekonomi dan politik iaitu dua unsur penting yang menentukan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah tamadun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Khamis.
Menurut Dr Zambry, persidangan itu diadakan bagi menghimpunkan para pemikir dan ahli akademik bagi berkongsi idea dan pandangan mengenai segala bentuk pengetahuan dan isu-isu dari perspektif Islam.
"Ia juga akan mengupas soal-soal permasalahan ummah serta isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam dunia," tambahnya.
Menteri Besar berkata, selain ucaptama, pihak KUISAS telah menerima sebanyak 447 abstrak dan 304 kertas kerja yang akan dibentang dan dibincangkan pada persidangan itu.
Beliau memberitahu, peserta luar yang akan hadir adalah dari Algeria, Botswana, Mesir, Indonesia, Jordam, Libya, Nigeria, Pman, Pakistan, Arab Saudi, Tunisia dan Yemen.

0 comments:

Post a Comment