a Ketua Kampung Baru Sambut Baik Peringatan Dr Zambry ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

Ketua Kampung Baru Sambut Baik Peringatan Dr Zambry

Ketua kampung baru menyambut baik peringatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya mereka tidak 'syok sendiri' dan menganggap jawatan itu satu keistimewaan, sehingga gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.
Mereka sependapat bahawa peringatan itu bukan sahaja ditujukan kepada ketua-ketua kampung tradisional, malah juga kepada mereka, ketua-ketua kampung baru agar sentiasa menjaga imej baik kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut mereka, peringatan itu sebagai satu cabaran dan realiti yang harus dihadapi oleh ketua kampung dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Kampung Baharu Pulau Pasir Hitam, Taiping, Oo Thian Hock, 59, berkata, sebagai ketua kampung, mereka diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan berkesan.
"Saya tidak menganggap menjadi ketua kampung merupakan satu keistimewaan tetapi saya berazam untuk terus membantu menyelesaikan permasalahan rakyat seperti masalah perparitan, longkang tersumbat dan banjir di kawasan saya," katanya.
Ketua Kampung Salak Utara, Sungai Siput, Khoo Lai Huat, 45, pula berkata, peringatan Dr Zambry itu akan dijadikan panduan untuknya memberi khidmat yang terbaik, di samping menjaga imej kerajaan BN yang sentiasa menjaga kebajikan semua kaum di negeri ini.
"Walaupun kali pertama dilantik menjadi ketua kampung, saya berjanji untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan yang saya wakili," ujarnya.
Ketua Kampung Baru Beruas, Ong Mee Lin, 47, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepadanya menjadi kumpulan pertama wanita menjadi ketua kampung.
"Terima kasih kepada kerajaan BN yang melantik saya sebagai ketua kampung dan ini merupakan satu pengiktirafan dan kepercayaan kerjaaan terhadap kaum wanita," katanya.
Beliau tekad menerima cabaran itu dan dalam masa yang sama berazam akan menunjukkan tauladan baik semasa melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

0 comments:

Post a Comment