a Kontraktor Gagal Siapkan Projek Akan Diberhentikan ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

Kontraktor Gagal Siapkan Projek Akan Diberhentikan

Kerajaan Perak memberi amaran akan menamatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor yang didapati gagal untuk menyiapkan projek-projek pembangunan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompomi dengan mana-mana kontraktor 'malas' yang lewat menyiapkan projek mengikut jadual.
Menurut beliau, kerajaan faham, jika kadar kelewatan sekitar lima peratus tetapi tidak dapat menerima alasan sekiranya kelewatan mencecah sehingga 60 atau 70 peratus.
"Kita arahkan mereka ini diberhentikan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kontraktor-kontraktor malas atau kontraktor yang tidak melaksanakan projek mengikut jangka waktu yang ditetapkan," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Menurut Menteri Besar, daripada pemerhatian kerajaan negeri, didapati kelewatan projek yang berlaku disebabkan kelembapan pihak kontraktor yang mungkin disebabkan masalah mereka sendiri.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan Pusat memberi pertimbangan sewajarnya kepada kontraktor tempatan bagi melaksanakan projek-projek Persekutuan di negeri ini, kecuali kontraktor luar yang mempunyai kepakaran dan pengalaman tinggi.
Katanya, kerajaan negeri mendapati terdapat projek Persekutuan yang dilaksanakan kontraktor luar yang juga tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan sesuatu projek di kawasan tertentu di Perak.
"Kita difahamkan tidak semua kontraktor mempunyai kepakaran tinggi, maka kita membenarkan untuk dibincangkan tetapi secara amnya kita berharap Pusat dapat memberi perhatian sewajarnya bagi mengelak daripada berlaku kelewatan pelaksanaan projek," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment