a Dr Zambry Rimas 'Dikipas' ~ zambry.my

Wednesday, August 6, 2014

Dr Zambry Rimas 'Dikipas'

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak bercakap benar dan tidak mengipas beliau dengan perkhabaran berita baik-baik belaka sedangkan hakikat sebaliknya.
Katanya, beliau agak rimas apabila menerima sistem pesanan ringkas (SMS) yang gemar mengipasnya sepanjang masa berhubung kadar kemiskinan di Perak.
"Kadang-kadang saya rimas apabila menerima SMS suka kipas sepanjang masa, cakap benar apa yang boleh kita buat, bagaimana kita boleh perbaiki diri kita kerana kita manusia mungkin ada kelemahan-kelamahan," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) Fasa 1 Negeri Perak di Hotel Casuari @ Meru, Ipoh pada Selasa.
Beliau gembira kerana kerajaan mengambil langkah merombak kaedah model pembasmian kemiskinan di negeri ini dengan menubuhkan Yayasan Bina Upaya (YBU) tanpa menidakkan peranan yang dimainkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam membasmi kemiskinan.
Dr Zambry berkata, YBU kini sudah menjadi model rujukan, bukan sahaja dalam negeri bahkan luar negeri kerana peranan berkesannya dalam membantu golongan miskin di negeri ini.
"Kaji selidik dari Howard dan Nigeria datang ke sini untuk melihat model YBU yang bukan hanya membasmi kemiskinan, malah bagaimana memperkasakan golongan miskin daripada lingkaran kemiskinan," ujarnya.
Beliau turut mendedahkan peringkat awal Perak Amanjaya ketika diuar-uarkan menerima kritikan sinis tetapi akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Mengenai RMK11 yang akan dilaksanakan tahun depan, katanya, kerajaan negeri akan membuat analisis dengan mendapatkan pandangan serta idea daripada semua pihak temasuk jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta di negeri ini.
"Kerajaan negeri penuh yakin dalam melaksanakan RMK11 ini, ia memerlukan pengembelingan tenaga bersama semua pihak dan bukannya satu pihak," katanya.

0 comments:

Post a Comment