a Hukuman Maksima Terhadap Pencuri Peralatan Komunikasi, Kabel ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

Hukuman Maksima Terhadap Pencuri Peralatan Komunikasi, Kabel

Kerajaan negeri meminta pihak berkuasa mengenakan hukuman maksima terhadap pencuri peralatan komunikasi dan kabel yang didapati bersalah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah diminta mempertingkatkan kawalan dan menangkap pencuri-pencuri tersebut dengan kadar segera untuk dibawa ke muka pengadilan.
Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius kes kecurian peralatan komunikasi dan kabel kerana ia telah menyebabkan kadar penembusan jalur lebar di negeri ini semakin menurun.
Beliau berkata, Perak telah mencatatkan sejumlah 2,014 kes kecurian kabel dengan nilai kerugian mencecah RM 7.23 juta ringgit tahun lalu, iaitu kedua tertinggi selepas Selangor.
Katanya lagi, statistik tahun ini pula menunjukkan kes kecurian tersebut semakin menjadi-jadi apabila mencatat peningkatan dengan jumlah kerugian telah mencecah RM 5 juta setakat ini sahaja.
"Bukan tiada tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menambah kadar peneterasi jalur lebar di negeri ini tetapi ia adalah berpunca daripada kadar kecurian yang menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
"Mereka yang melakukan perkara ini adalah manusia yang paling tidak bertanggungjawab, paling tidak memikirkan kesejahteraan masyarakat rakyat di negeri ini," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr. Zambry juga menyeru kesemua jawatankuasa penduduk di Perak untuk bersama-sama membantu kerajaan mencegah masalah tersebut.
"Saya minta jawatankuasa penduduk, bersama-sama kita untuk memerhati dan menangkap mereka ini untuk dibawa kepada pihak berkuasa," katanya.

0 comments:

Post a Comment