a Tanah Rezab KTMB Kuala Sepetang Untuk Penduduk Lama ~ zambry.my

Thursday, August 28, 2014

Tanah Rezab KTMB Kuala Sepetang Untuk Penduduk Lama

Kerajaan negeri akan memastikan hanya penduduk yang menetap lama di atas tanah rezab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Sepetang sahaja diberikan tanah di kawasan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah meminta Pejabat Tanah dan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) membuat bancian bagi memastikan penduduk yang menetap lama di kawasan itu tidak teraniaya.
Menurut beliau, sepanjang proses untuk memberi tanah itu kepada rakyat, kerajaan mahu supaya ia diberikan dengan adil kepada mereka yang telah tinggal begitu lama di kawasan berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu, Menteri Besar mengimbau sejarah bagaimana beliau menghadapi masalah apabila pihak KTMB mendesak kerajaan negeri membayar RM30 juta untuk mengambil semula tanah itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau bertegas tidak mahu membayar sesen pun kerana merasakan ia adalah hak kerajaan negeri yang perlu dikembalikan demi untuk rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau tidak mahu mana-mana pihak cuba menimbulkan masalah serta merumitkan keadaan berhubung isu tanah rezab KTMB itu.
Beliau berkata, memang menjadi hasrat utama kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat.
"Dalam proses membuat bancian di kawasan berkenaan, tentunya pihak Pejabat Tanah dan Daerah akan mengenalpasti hanya mereka yang benar-benar layak sahaja untuk diberikan tanah di kawasan berkenaan," ujarnya.
Beliau diminta mengulas isu lebih 100 penduduk yang menduduki tanah rizab KTMB di sepanjang landasan Taiping - Kuala Sepetang sejak 40 tahun lalu, dikatakan kerugian lebih RM500,000 selepas ditipu tiga individu yang menjanjikan pemberian geran tanah yang mereka duduki.
Dr Zambry berkata, beliau juga menerima laporan bahawa terdapat tuan rumah yang memiliki hingga tiga buah rumah, di mana dua buah rumah disewakan kepada orang lain dan bagi tujuan perniagaan.
Beliau menganggap perbuatan tersebut sebagai satu perkara yang tidak baik sedangkan kawasan tanah itu adalah untuk tempat tinggal dan bukan untuk di buat perniagaan sehingga menafikan hak orang lain.

0 comments:

Post a Comment