a Dr Zambry Kutuk Perbuatan Pasangan Separuh Bogel ~ zambry.my

Wednesday, August 27, 2014

Dr Zambry Kutuk Perbuatan Pasangan Separuh Bogel

Kerajaan Negeri Perak mengutuk sekeras kerasnya perbuatan insiden model lelaki dan wanita memperagakan pakaian dalam keadaan separuh bogel di tempat awam pagi Isnin sehingga mengemparkan Bandaraya Ipoh.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak atau individu yang cuba mencemarkan imej negeri ini dengan melakukan perbuatan tidak senonoh termasuk memperagakan pakaian menjolok mata secara terbuka.
Katanya perbuatan mereka jelas melanggar adab serta tidak menghormati budaya pelbagai kaum di negeri ini.
Menurutnya kerajaan negeri telah pun dimaklumkan bahawa pihak polis sudah pun menjalankan siasatan tentang latar belakang mereka yang terbabit.
"Pihak polis telah memaklumkan kepada saya bahawa siasatan akan siap dalam tempoh terdekat. Kita mahu satu tindakan tegas dibuat terhadap mereka terlibat mengikut peruntukkan undang-undang yang ada," katanya.
Pagi Isnin Bandaraya Ipoh gempar apabila seorang lelaki dan wanita, dipercayai model, memperagakan pakaian dalam keadaan separuh bogel di tengah-tengah kesibukan lalu lintas di Jalan Sultan Yussuf di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, wanita tersebut hanya memakai bikini berwarna putih dan kain layah (veil) manakala pasangannya memakai seluar panjang berwarna hitam tanpa baju.
Difahamkan, pasangan terbabit bersama beberapa krew dipercayai menjalani sesi fotografi di lokasi tersebut.
Menteri Besar berkata tindakan mereka jelas bertentangan dengan prinsip ketatasusilaan masyarakat Malaysia.
"Mereka boleh anggap ini satu trend, perkara yang trendy terdapat dI beberapa buah negara tetapi ini Malaysia. Masyarakat kita tidak boleh terima perkara-perkara yang bertentangan dengan adab budaya negara kita yang berbagai kaum.
Kita perlu ada rasa hormat menghormati di antara satu sama lain," katanya.
Menjawab satu soalan, Menteri Besar berkata elemen sama ada perbuatan itu merupakan satu bentuk provokasi ataupun tidak bukanlah persoalan pokok yang harus dilihat tetapi perbuatan memperagakan pakaian separuh bogel amatlah bertentangan dengan norma norma tatacara dan tatasusila kehidupan rakyat di Malaysia.

0 comments:

Post a Comment