a Generasi Muda Disaran Hayati Sejarah Ketamadunan Islam ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

Generasi Muda Disaran Hayati Sejarah Ketamadunan Islam

Generasi muda hari ini disaran menghayati sejarah dan ketamadunan serta kegemilangan Islam agar mereka lebih bersiap sedia menjadi pewaris kepada kepimpinan Islam akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata gologan muda ini bagaimanapun perlu diberi bimbingan yang sewajarnya dari sekarang bagi membentuk pemikiran berlandaskan syariat Islam.
" Anak-anak dihadapan kita inilah yang bakal menentukan pemimpin negara di masa hadapan.
"Oleh itu penganjuran WCIT ini dapat memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai perkembangan dunia Islam masa kini yang kian mencabar.
"Kita perlu berfikir bersama-sama, bergerak ke hadapan dan terus membina tamadun Islam," katanya semasa merasmikan majlis penutupan Persidangan Dunia Mengenai Pemikiran Islam dan Ketamadunan di Hotel Casuarina @ Meru di Ipoh pada Selasa.
Sehubungan itu, kata Dr Zambry, penganjuran WCIT merupakan medium penting bagi akademik selain mempunyai potensi dalam membentuk pemikiran generasi muda.
Persidangan dua hari itu yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) bertemakan "The Rise and Fall of Civilization'' dihadiri lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara.
Hadir sama, Rektor KUISAS, Tan Sri Dato' Dr. Nordin Kardi dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr Muhammad Amin Zakaria.
Sebanyak 200 kertas kerja dalam lima sesi pembentangan telah membincangkan pelbagai aspek dan isu berkenaan perkembangan tamadun Islam pada kali ini.
Seminar kali ini berjaya menghimpunkan para peserta dari negara-negara Islam antaranya Algeria, Mesir, Jordan dan Yaman dan Arab Saujdi yang membincangkan pelbagai isu berkenaan tamadun Islam dan kepentingan elemen pendidikan dan teknologi.

0 comments:

Post a Comment