a Timbang Semula Permohonan Perak Bina Lapangan Terbang Baharu ~ zambry.my

Wednesday, August 20, 2014

Timbang Semula Permohonan Perak Bina Lapangan Terbang Baharu

Kerajaan Persekutuan diminta menimbang semula permohonan kerajaan negeri Perak untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana Perak merupakan negeri pertama yang mengemukakan permohonan tersebut, selepas mengambil kira kedudukan lapangan terbang di Pulau Pinang.
Menurut beliau, permohohonan itu juga merupakan inisiatif pertama kerajaan negeri Perak dengan pihak swasta.
Katanya, kerajaan negeri Perak telah menyiapkan pelan serta cadangan dan sudah membuat pengumuman pada 2010 mengenai hasrat untuk membina lapangan terbang baharu di Lembah Beriah yang terletak di utara Perak.
"Kita harap sekiranya kerajaan Persekutuan ingin memberi pertimbangan kepada negeri-negeri lain yang bersempadan dengan Perak, maka kita juga meminta supaya permohonan kita untuk membina sebuah lapangan terbang baharu dipertimbangkan dengan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzan, Ipoh pada Khamis.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Kedah mengumumkan kesediaan mereka untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di negeri berkenaan.
Menurut Dr Zambry, memandangkan kerajaan Persekutuan sedang membuat pertimbangan berhubung isu tersebut, beliau tidak mahu memberi penekanan yang keterlaluan terhadapnya.

0 comments:

Post a Comment