a Malindo Air Bakal Beroperasi Di LTSAS ~ zambry.my

Thursday, August 14, 2014

Malindo Air Bakal Beroperasi Di LTSAS

Pembangunan ekonomi yang pesat menjadi faktor utama syarikat penerbangan terkemuka Malindo Air memilih Perak sebagai salah satu landasan operasinya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu merupakan salah satu langkah dalam penjanaan pelan pelaburan dalam industri penerbangan dan pelancongan di negeri Perak.
"Malindo Air kini mula menyedari perkembangan ekonomi yang begitu rancak di Perak dan atas sebab ini mereka menjadi positif untuk memilih Perak sebagai salah satu tempat aktiviti penerbangan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna SUK pada Rabu.
Dr Zambry berkata, Malindo Air bercadang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) untuk operasi ke beberapa destinasi antarabangsa seperti Indonesia dan di sekitar Asia Tenggara yang akan dimaklumkan kelak.
"Kita akan memperhalusi lagi perkara ini bersama dengan pegawai bertanggungjawab yang lebih arif dalam bidang dan kaedah industri penerbangan kerana perkara ini masih lagi memerlukan perincian teliti sebelum diluluskan sepenuhnya," katanya.
Tambahnya, pihak Malindo Air mengemukakan cadangan mereka untuk menggunakan pesawat jenis ATR-70 dan Boeing di dalam jadual penerbangannya.
"Kita berharap sekiranya semua berjalan dengan lancar kita akan memulakan kerjasama dengan pihak Malindo Air ini dengan serta-merta," ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Rama Chandran Muthy dan Pengarah Komunikasi Korporat Malindo Air, Raja Saadi Raja Amrin di pejabatnya.
Pada bulan lepas, Dr Zambry mengumumkan LTSAS di Ipoh, yang sebelum ini berdepan masalah lubang benam, selamat dan kini boleh beroperasi seperti biasa.

0 comments:

Post a Comment