a Pertabalan 'Maharaja Kinta' Mengarut ~ zambry.my

Tuesday, January 26, 2016

Pertabalan 'Maharaja Kinta' Mengarut

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir hari ini menyifatkan pertabalan seorang individu sebagai 'Maharaja Kinta' pada November lepas sebagai mengarut.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pingat atau darjah kebesaran oleh individu tidak bertanggungjawab dan tidak diiktiraf kerajaan.  

"Ini semua mengarut, di Perak cukup jelas, sistem di Perak hanya ada satu (Sultan) sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.  

Ahad lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai seorang individu yang ditabalkan sebagai 'Maharaja Kinta' dengan menggunakan gelaran 'Yang Mulia Datuk Seri Paduka Diraja' dalam satu majlis di Selangor hujung tahun lalu.

Upacara pertabalan mirip istiadat pertabalan raja-raja seperti istiadat bersiram serta istiadat penganugerahan darjah dan pingat yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk'.

Zambry berkata isu penganugerahan pingat dan darjah kebesaran oleh pihak tidak bertanggungjawab itu perlu segera ditangani oleh kerajaan Persekutuan sebelum ia menjadi lebih serius.

"Sebelum ini kita dengar macam-macam pingat yang dikeluarkan sama ada dari dalam negara atau luar negara dan ini memerlukan tindakan penguatkuasaan melalui peruntukan undang-undang," katanya.

Zambry berkata pihaknya pernah merujuk perkara tersebut kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan lanjut terutama dari aspek undang-undang.

"Perkara ini melibatkan Perlembagaan, jadi saya mengharapkan pihak kerajaan Persekutuan dapat menyegerakannya kerana kalau tidak sesiapa sahaja boleh mengeluarkan sebarang bentuk pingat yang bermacam-macam gelaran ini," katanya.

Pada 14 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat, Mac ini, setelah rang undang-undang berkenaan dikemukakan semula kepada Majlis Raja-Raja untuk persetujuan serta diluluskan Kabinet. - Bernama

0 comments:

Post a Comment