a Pemaju Perlu Sedia Tanah Lapang Untuk Riadah ~ zambry.my

Friday, February 5, 2016

Pemaju Perlu Sedia Tanah Lapang Untuk Riadah

"Kerajaan negeri meminta pemaju kawasan perumahan menepati syarat untuk menyediakan tanah lapang awam di kawasan yang dimajukan bagi tujuan riadah," kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, tanah lapang awam itu boleh dibangunkan sebagai taman rekreasi selain menyediakan kemudahan sukan untuk kegunaan masyarakat.

"Jika mereka (pemaju) ingin membangunkan sesuatu kawasan, ada keperluan yang perlu dipenuhi termasuklah menyediakan kawasan lapang.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri menetapkan antaranya bagi kawasan yang melebihi 4.04 hektar atau kawasan melebihi 2.02 hektar, berapa peratus dari kawasan itu perlu dijadikan tanah lapang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Zambry berkata, pemaju perlu menepati perancangan yang ditetapkan kerajaan negeri dalam memberi keselesaan kepada rakyat khususnya di kawasan perumahan yang mempunyai penduduk ramai.

"Sekiranya perumahan baharu dibina di kawasan kecil, pemaju boleh memperbesarkan atau menaik taraf tanah lapang sedia ada di kawasan perumahan berdekatan yang luas bagi membolehkan penduduk datang beriadah," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan negeri tidak menolak permohonan pemaju yang ingin membangunkan kawasan perumahan di tanah milik peribadi, namun pihaknya akan sentiasa memantau agar syarat untuk memajukan kawasan perumahan dipenuhi.

"Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rusnah Kassim dilantik untuk meneliti aspek tersebut," katanya.

0 comments:

Post a Comment