a Pelihara Keamanan Negara – Dr Zambry ~ zambry.my

Sunday, August 31, 2014

Pelihara Keamanan Negara – Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak agar mengekalkan kemanan negara yang sedia terbina supaya terhindar daripada kejadian yang tidak diingini seperti yang berlaku di beberapa negara bergolak.
Beliau berkata, kemerdekaan yang dicapai selama 57 tahun telahpun disulami dengan pelbagai anjakan kemajuan, daripada sebuah negara pertanian menjadi sebuah negara industri.
Menurut beliau, adalah menjadi impian semua pihak untuk memastikan kebebasan dan kemerdekaan ini dikekalkan, tanpa sebarang kekacauan yang boleh menganggu gugat masyarakat di dalam negara ini.
"Kehadiran pelbagai masyarakat daripada latar belakang dan bangsa untuk menyambut kemerdekaan negara, khususnya di Perak menunjukkan betapa tebalnya rasa cinta dan sayang kepada negara.
"Tidak ada maknanya sebuah negara yang merdeka tetapi rakyatnya hidup derita oleh kerana mereka saling bantah dan bertelingkah antara satu sama lain seperti yang terjadi di beberapa buah negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Jamuan Makan Tengahari dan Penyampaian Hadian sempena perarakan dan perbarisan Hari Kemerdekaan Negara ke-57 Peringkat Negeri Perak pada Ahad.
Dr Zambry menambah, sambutan kemerdekaan kali ini diraikan secara sederhana sebagai tanda menghormati tempoh berkabung dan peristiwa MH17 dan MH370.
"Sambutan kemerdekaan kali ini disambut secara sederhana, walapupun begitu ianya tetap meriah dengan penglibatan semua kaum pelbagai bangsa dan agama," kata beliau.
Di majlis tersebut, beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori kawad terbaik yang melibatkan penyertaan daripada jabatan Kerajaan, Pejabat Daerah dan Tanah, Badan Berkanun,Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah.
Johan bagi kategori kawad terbaik dan pakain terbaik keseluruhan diraih oleh kontinjen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), bagi kategori Pejabat Daerah dan Tanah dimenangi oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.
Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah Ipoh berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori Kawad Terbaik Peringkat IPTA, kategori sekolah pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit.
Johan membawa pulang RM3,000 beserta sijil manakala RM2,000 bagi naib johan dan RM1,000 untuk tempat ketiga buat setiap kategori.

0 comments:

Post a Comment