a LTSAS Kembali Beroperasi Berita Baik Buat Perak - Dr Zambry ~ zambry.my

Friday, August 22, 2014

LTSAS Kembali Beroperasi Berita Baik Buat Perak - Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap pengisytiharan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh selamat digunakan sepenuhnya oleh pesawat temasuk Boeing 737 dan Airbus 320 sebagai berita baik buat rakyat negeri Perak.
Katanya, pengisytiharan itu yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi hari ini sekaligus membuktikan bahawa LTSAS selamat digunakan pada bila-bila masa.
"Ini merupakan satu berita yang cukup baik untuk rakyat Perak, terima kasih atas usaha yang dilakukan untuk mengembalikan semula Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah kepada keadaan biasa dan boleh digunakan oleh semua pesawat.
"Kita ingin membuktikan bahawa lapangan terbang ini selamat untuk digunakan dan semua pihak tidak lagi ragu-ragu sama ada jenis pesawat apa yang boleh mendarat di sini,'' katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengiringi lawatan kerja Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi di LTSAS, Ipoh pada Khamis.
Kepada soalan pemberita, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri telah menerima beberapa pertanyaan dan cadangan daripada beberapa syarikat penerbangan luar untuk menggunakan LTSAS termasuk Malindo Air.
Menurut beliau, Malindo Air telahpun mengemukakan cadangan mereka untuk memulakan penerbangan daripada Ipoh ke beberapa destinasi yang ada termasuk ke Subang, Medan dan Johor Bahru.
Katanya, beliau juga telah menerima beberapa permintaan malah dalam perbincangan dengan Duta Cina yang berkunjung ke Perak baru-baru ini turut membincangkan mengenai perkara itu.

1 comment:

  1. Alhamdulillah ... Kalau tak sedihnya. Dari KL ke Ipoh kena naik train or drive

    ReplyDelete