a Perak Belum Pasti Bebas Dadah Menjelang 2015 ~ zambry.my

Tuesday, August 26, 2014

Perak Belum Pasti Bebas Dadah Menjelang 2015

Kerajaan negeri setakat ini masih belum mendapat petunjuk yang jelas bahawa matlamat Perak bebas dadah menjelang tahun 2015 akan tercapai. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, secara peribadi beliau sendiri belum diyakinkan samada matlamat itu mampu dicapai. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memerangi dadah di negeri ini.

“Berpandukan kriteria, penanda aras antara penawaran dan permintaan serta perangkaan jumlah penyalahgunaan, pengedaran dan rampasan dadah, kita belum mendapat petunujuk jelas bahawa matlamat negeri Perak bebas dadah menjelang tahun 2015 akan tercapai,” katanya.

Dr Zambry menjawab soalan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) pada Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa. Beliau berkata, gejala penyalahgunaan dadah bukan sahaja berkisar soal penawaran dan permintaan dan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan, ia berangkai dan kompleks merentasi soal-soal ekonomi, pendidikan, nilai agama, akhlak, persekitaran dan sebagainya. Dalam hubungan ini, kata Menteri Besar, peranan semua pihak termasuk agensi kerajaan seluruh masyarakat amat penting dalam memerangi gejala dadah secara lebih berkesan.

“Kegagalan kita membanteras gejala ini dengan berkesan akan membawa padah kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Untuk itu, kata belau, kerajaan negeri dengan kerjasama semua agensi kerajaan seperti PDRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil langkah mengadakan pelbagai program kesedaran dan pencegahan penyalahgunaan dadah. Beliau juga memberitahu Dewan bahawa walaupun berlaku penurunan bagi bilangan orang kena pengawasan penagihan dadah bagi tahun 2013 iaitu seramai 7,145 orang (16.3 peratus), namun ia belum dianggap satu jaminan gejala ini akan berkurangan.

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat yang sama, Dr Zambry mengakui salah satu masalah penagihan yang dihadapi pada hari ini tertumpu juga dikawasan-kawasan nelayan. Katanya, selain daripada kawasan-kawasan Felda dan Felcra, masalah itu juga berlaku di kawasan nelayan, khususnya di kawasan pantai.

“Ini memberikan kesan yang sangat serius termasuk juga di kawasan saya di kawasan Pulau Pangkor, kawasan Hilir Perak, Pantai Remis, Kuala Kuala Sepetang, kawasan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang,” tambahnya.

0 comments:

Post a Comment