a July 2016 ~ zambry.my

Saturday, July 30, 2016

Teka-teki siapa Speaker bakal terjawab - MB Perak

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu akan diumumkan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijangka bersidang pada Ogos ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, jawatan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri S.K. Devamany itu nanti semestinya akan disandang wakil daripada Barisan Nasional (BN).


“Jawatan speaker itu perlu di sokong oleh ahli Dewan, tetapi sudah semestinya calonnya daripada BN.

“Bagi pihak BN, kita akan rujuk kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dahulu sebelum membuat usul di persidangan Dewan. Ini merupakan salah satu daripada prosesnya (melantik Speaker),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak sempena Majlis Perasmian Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJ Residences@Meru di Ipoh pada Khamis.

Ketika ditanya pemberita sama ada pengganti merupakan calon dari MIC, Dr Zambry berkata biarlah ia menjadi satu tanda soal kepada semua. 

“Saya akan biarkan ianya menjadi tanda tanya buat ketika ini. Kalau saya umumkan sekarang nanti ia tak jadi kejutan lagi,” ujarnya.

Devamany, yang juga timbalan presiden MIC, melepaskan jawatan Speaker DUN yang disandang sejak 2013, susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet, pada 27 Jun lepas.     

Jangan Abaikan Kontraktor Kecil – Dr Zambry

Syarikat kontraktor besar di negeri ini disaran agar tidak melupai peranan kontraktor-kontraktor kecil, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya, kontraktor kecil seharusnya diberi peluang melibatkan diri serta bekerjasama dalam projek-projek besar agar mereka dapat menimba pengalaman bagi menjadikan mereka lebih berdaya maju dalam bidang pembinaan.

“Persatuan kontraktor dan juga beberapa syarikat-syarikat besar (kontraktor) di negeri ini jangan lupa dan abai peranan kontraktor kecil yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum.


“Ianya bagi memastikan supaya aktiviti-aktiviti yang mereka ceburi ini akan mendatangkan pulangan yang baik kepada mereka selain memastikan mereka turut dapat berperanan dalam bidang pembinaan sekaligus menyumbang kepada pembangunkan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jamuan Hari Raya Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak sempena Majlis Perasmian Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJResidences@Meru, pada Khamis.

Turut hadir Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim.

Di majlis tersebut, Dr Zambry turut menyerahkan kunci rumah kedai dan apartment kepada pembeli selain daripada merasmikan pejabat PKMM Perak.

Menteri Besar berkata, PKMM Negeri Perak telah berjaya menjadi model terbaik di kalangan persatuan PKMM di negara ini.
 PKMM Perak dijadikan model kerana mereka jalinkan hubungan dengan baik sekali bersama kerajaan kerajaan.

“Selain membantu kerajaan negeri dalam memberi nasihat serta pandangan-padangan, PKMM juga dilihat berjaya dalam memastikan kontraktor-kontraktor dalam Perak dapat berperanan dengan lebih baik lagi,” jelasnya.

Beliau turut memuji usaha PKMM Perak yang membangunkan Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJ Residences secara kerjasama dengan kontraktor daripada pelbagai latarbelakang kaum.

“Walaupun ianya atas daya usaha PKMM Perak, tetapi ia tidak bermakna orang lain tidak boleh memiliki atau terlibat membangunkannya. Ini adalah contoh ‘partnership’ yang terbaik antara kaum,” katanya.

Perak Tak Setuju Ketum Ditanam - Dr Zambry

Kerajaan Perak tidak bersetuju dengan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang memohon Kerajaan Pusat  membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sentiasa mengikut polisi dan undang-undang Kerajaan Pusat yang mengklasifikasikan ketum sebahagian daripada jenis dadah.



"Walaupun ada yang mengatakan ketum ini ada kebaikan, namun polisi kerajaan sudah terang dan kita mengikuti polisi yang klasifikasikan bahawa ketum adalah sebahagian daripada jenis-jenis dadah, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak sempena Majlis Perasmian Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJ Residences@Meru di Ipoh pada Khamis.

Tambah beliau lagi, tidak sepatutnya sebarang kenyataan kontroversi dikeluarkan bagi mempromosikan ketum yang sudah jelas dilarang penggunaan serta penanamannya di negara ini.

Beliau mengulas cadangan RISDA mahu menanam pokok ketum bagi memenuhi keperluan bidang perubatan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini dipetik berkata, berdasarkan laporan syarikat farmasi terbabit yang disokong kajian terperinci beberapa universiti, daun ketum secara saintifiknya mempunyai nilai perubatan tinggi terutama dalam menghasilkan ubat untuk menstabilkan darah pada musim sejuk.

“Daun ketum mempunyai nilai perubatan tinggi tapi masih wujud tanggapan negatif tentang tumbuhan herba berkenaan di Malaysia.

"Jadi apa salahnya kerajaan membenarkan pokok ditanam untuk tujuan eksport sahaja bagi membantu menambahkan pendapatan pekebun kecil yang kebanyakannya terdiri daripada orang kampung," katanya.

Penswastaan Sisa Pepejal - Perak Mahu Yang Terbaik

erak hanya akan menandatangani perjanjian penswastaan sisa pepejal bersama Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSPPA) sekiranya ianya betul-betul memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara tersebut perlu diperhalusi dan diberi pertimbangan serius kerana perjanjian itu bakal memberi impak positif serta negatif dalam jangka masa panjang kepada rakyat.


“Perak masih lagi belum membuat keputusan kerana kerajaan negeri berpandangan perlu ada penelitian mendalam. Perak merupakan negeri yang besar serta banyak tempat-tempat akan terlibat dengan penswastaan ini. Jadi kita tak nak buat keputusan yang salah.

“Selain ianya melibatkan kos yang besar, kita betul-betul mahu yang terbaik untuk negeri ini, bukan hanya untuk kerajaan negeri tetapi untuk rakyat Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak sempena Majlis Perasmian Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJ Residences@Meru di Ipoh pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Zambry memberitahu beliau telah pun mengadakan perbincangan bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

“Dalam lawatannya baru-baru ini saya dah bincangkan beberapa perkara dan kita mengharapkan pihak kementerian akan datang semula untuk mengadakan perbincangan selanjutnya.

“(Noh) memahami mesej kerajaan negeri, dan beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai kanan Kementerian dan seterusnya perbincangan di peringkat negeri ini bersama pegawai serta exco bertanggungjawab,” jelasnya.

Tambah beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim telah ditugaskan menjadi koordinator bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Thursday, July 28, 2016

Ketua Kampung Perlu Kerjasama Banteras Salahguna Dadah



Kerajaan negeri komited dalam melaksanakan kerjasama erat dengan ketua-ketua kampung di sekitar Perak untuk membendung gejala penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia perlu bagi mencegah kes-kes penyalahgunaan dadah secara lebih holistik.

Gambar Hiasan 

"Kita nak pastikan agar arahan yang diberikan kepada pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung dapat dilaksanakan untuk mengatasi hal ini.

""Kerajaan negeri juga akan memberikan maklum balas mengenai perkembangan terkini beberapa perkara yang dibincangkan, khususnya yang berkaitan dengan perkara yang kita arahkan mereka lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas YAB Menteri Besar Perak Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Perak di Kinta Riverfront Hotel & Suites Ipoh pada petang Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin dengan pendekatan telus di peringkat akar umbi setiap ketua kampung akan dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mengatasi masalah penagihan dadah.

"Insya Allah, mereka akan dapat melakukan apa yang telah diarahkan dengan sebaiknya dan secara sendirinya masalah penagihan dadah di kawasan luar bandar dapat diatasi secara bersama secara kolektif.
"Kita tekankan secara kolektif kerana mereka lebih mahir, lebih maklum tentang masalah yang berlaku di kawasan mereka," katanya lagi.

Tambahnya, terdapat perkembangan dan pergerakan positif yang berlaku dalam usaha tersebut walaupun terdapat banyak proses penambahbaikan perlu dilakukan.

Dr Zambry berkata, perjumpaan yang diadakan membincangkan mengenai perihal pengurusan proses pendaftaran pengundi baru dapat dilaksanakan secara sistematik oleh semua ketua kampung. 

"Perkara ini akan mula dikuatkuasakan secara lebih teratur, sebagai contoh, kita boleh menyaksikan bagaimana setiap ketua kampung yang diwakili daripada setiap daerah menyampaikan borang maklumat tambahan berkaitan dengan pengundi baru," ujarnya.

Jelasnya, dua perkara tersebut merupakan terma tambahan yang dibincangkan bagi meningkatkan kualiti komuniti masyarakat luar bandar antara ketua kampung dan kerajaan negeri dalam perjumpaan tersebut.

JKR Diarah Pantau Struktur Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands

Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerjaya Raya (JKR) memantau rapi struktur jalan di Kilometer 44, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands bagi memastikan ia selamat digunakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, JKR telah pun mengenal pasti kawasan-kawasan bahaya yang kerap berlaku kemalangan di tempat berkenaan.


“Kita telah mengarahkan mereka menubuhkan satu pasukan untuk membuat pemantauan setelah mendapat laporan mengenai jalan raya tersebut yang dimaklumkan mempunyai kedudukan tanah yang tidak begitu baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai usaha kerajaan negeri menangani masalah keselamatan jalan raya di kawasan berkenaan.

Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri juga akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan berkenaan selamat digunakan.

“Kita perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan kemalangan tidak diingini dapat dielakkan dan tidak lagi berlaku,” tambahya.

Pada Selasa, seramai 28 pelancong, termasuk dua orang tempatan nyaris maut apabila bas yang dalam perjalanan dari Cameron Highland ke Ipoh terbabas lalu terbalik di kawasan berkenaan.

Pada April, dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam satu kemalangan di kawasan yang sama.

Dalam kejadian sekitar 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Shukri Mohammad, 26  dan Norkhaliza Mohd Yusoff, 23, yang merupakan anggota dari Markas Tentera Laut yang bertugas di Kuala Lumpur maut di tempat kejadian.

Syarikat Guna Air Bawah Tanah Perlu Bayar Royalti

Syarikat-syarikat besar di Perak yang mengunakan air bawah tanah untuk tujuan operasi komersial perlu membuat bayaran royalti kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bayaran itu perlu dikenakan kerana air bawah tanah merupakan sebahagian daripada sumber asli dan pendapatan kerajaan negeri.


Menurut beliau, penggunaan sumber-sumber mineral termasuk air adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan, termasuk dikenakan bayaran.

”Ada syarikat yang mengunakan air bawah tanah ini untuk dijual dan ada juga yang mengunakan untuk operasi mereka seperti menyejukkan mesin-mesin besar yang digunakan tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa negeri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mimgguan Exco di sini pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah pun mengenal pasti beberapa syarikat yang mengunakan air bawah tanah itu secara besar-besaran.

“Kerajaan negeri mempunyai senarai itu, jangan sampai kita ke peringkat di mana mereka ditangkap mengunakan air secara tidak sah, ini bukan tujuannya untuk menyusahkan tetapi ini adalah pendapatan negeri.

“Kita harap mereka dapat mematuhi keperluan untuk membayar caj tertentu tersebut, sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

Justeru Dr Zambry memohon agar mana-mana syarikat besar yang mengunakan air bawah tanah secara besar-besaran tampil dan memaklumkan kepada pihak berkuasa negeri.

“Tetapi kita tidak menetapkan tempoh masa, kita perlu berbicang dahulu dan beri peluang kepada mereka kerana kita kerajaan yang mesra perniagaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, bayaran itu tidak dikenakan kepada pihak yang mengunakan air bawah tanah itu secara kecil-kecilan seperti tujuan kebajikan, sekolah, atau keperluan keluarga.

Wednesday, July 27, 2016

Perak Bakal Dapat 2,000 Rumah PPR

Kerajaan akan membina 2,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Perak sebagai usaha membantu rakyat golongan miskin bandar memiliki kediaman sendiri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, rumah yang dibina dengan harga RM160,000 seunit itu akan dijual dengan harga RM35,000 kepada pemohon yang layak di mana selebihnya akan disubsidikan kerajaan.

Gambar Hiasan


“Kerajaan buat lebih kurang RM160,000 tetapi kita jual dengan RM35,000 sahaja, kerajaan subsidi selebihnya, ini sumbangan kerajaan Barisan Nasional dalam membantu menyelesikan masalah bagi golongan kurang mampu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Raya Majlis Bandaraya Ipoh di Stadium Indera Mulia pada Selasa.

Menurut beliau KPKT juga akan mengemukakan kertas cadangan kepada jemaah menteri bagi memperkenalkan Skim Sewa Beli di bawah program tersebut bagi memudahkan golongan berkenaan memiliki rumah itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, penapisan ketat akan dilakukan kepada pemohon-pemohon, bagi memastikan golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah yang betul-betul layak sahaja akan terpilih.

“Dari pengalaman kita, apabila kita tawarkan rumah ini kepada yang berpendapatan rendah mereka hadapi masalah untuk dapat pinjaman bank kerana mereka ini orang susah.

“Insyallah sekiranya skim itu diluluskan, bukan sahaja mereka layak dapat rumah itu tetapi mereka boleh terus duduk di rumah berkenaan.

 “Setiap pemilihan nanti kita akan patikan rakyat benar-benar layak dan cukup syarat akan dapat, penapisan ketat melalui kerajaan negeri akan teliti pemohon-pemohan yang dari golongan berpendapatan RM2,500 kebawah,” jelasnya.

Tambah beliau, setakat ini 359 unit rumah PPR telah dibina di dua kawasan iaitu di Kamunting dan Sri Iskandar, manakala selebihnya akan dibina di empat lagi kawasan sekitar Perak dalam masa terdekat.

“Di Seri Iskandar ada 99 unit dan di Kamunting ada 260 unit, semuanya sudah siap dan penuh hanya tunggu dilancarkan manakala empat lagi kawasan itu kita sedang kenal pasti untuk bina baki jumlah tersebut,” ujarnya.