a Teroka Haram - Tindakan Tegas Hasilkan Penurunan Kes ~ zambry.my

Sunday, August 30, 2015

Teroka Haram - Tindakan Tegas Hasilkan Penurunan Kes

Disebalik wujudnya kegiatan sindiket penerokaan tanah haram, kerajaan Perak secara amnya berjaya mengawal kegiatan haram tersebut sehingga berjaya mengurangkannya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kes-kes kegiatan penerokaan haram membabitkan tanah kerajaan telah berjaya diturunkan daripada lebih 61,000 ekar kepada 16,000 ekar.
Katanya, kejayaan ini adalah atas ketegasan dan komitmen kerajaan secara berterusan dalam memerangi kegiatan penerokaan tanah kerajaan secara haram di Perak.
Menurutnya Perak pernah berhadapan dengan satu masalah serius berkaitan pecerobohan tanah kerajaan oleh peneroka haram.
“Dianggarkan lebih 61,000 ekar tanah milik kerajaan telah diteroka secara haram dan hari ini kita berjaya mengatasi dan mengurangkannya kepada 16,000 ekar sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Pentadbiran Tanah Negeri Perak dan Gerbang Hartanah Bumiputra 2015 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Hotel Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya pada Jumaat.
Dr Zambry juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri bukannya menggunakan pendekatan merampas tanah-tanah berkenaan tetapi lebih memberi penelitian terhadap kes-kes yang berlaku.
Beliau turut menyangkal tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang kononnya kerajaan langsung tidak berhati perut dalam mengatasi masalah petani dan peneroka-peneroka yang meneroka tanah kerajaan secara haram.
“Ada kes ianya melibatkan secara sindiket, pihak pembangkang pula tampil mencabar saya dan ini bukan soal cabaran kerana ini adalah tanggungjawab dan tidak sepatutnya mencabar.’’ katanya.
Katanya, dalam menangani isu penerokaan tanah kerajaan ini termasuk pengurusan pasir, kerajaan negeri tidak bertindak melindungi atau menyelamatkan mana-mana individu.
Dr Zambry berkata, kerajaan perlu bertegas kerana ini melibatkan soal pengurusan hasil negeri. “Kita amat tegas dalam menangani isu penerokaan tanah kerajaan secara haram ini jadi berilah maklumat kepada kita sekiranya mengetahui mengenai penglibatan sindiket,” katanya. 

0 comments:

Post a Comment