a Pengstrukturan Semula Porfolio Perkemaskan Barisan Exco ~ zambry.my

Thursday, August 6, 2015

Pengstrukturan Semula Porfolio Perkemaskan Barisan Exco

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan pengstrukturan semula beberapa portfolio Exco kerajaan negeri sebenarnya bertujuan memperkemaskan barisan dan bidang-bidang yang ada pada setiap anggota Exco.
Katanya, ini kerana beliau melihat di kalangan anggota Exco yang sedia ada, mempunyai kekuatan masing-masing dalam bidang-bidang tertentu, selain menunaikan janjinya untuk memberi pengupayaan kepada golongan muda dan wanita di negeri Perak.
Menurut beliau, pengstrukturan itu juga menunjukkan dasar kerajaan negeri yang mahu menjadi lebih inklusif dengan tidak melihat dari segi jantina sama ada dia lelaki atau dia perempuan tetapi lebih kepada keupayaan masing-masing.
“Begitu juga dalam kalangan Exco lelaki yang mempunyai kepakaran-kepakaran mereka dan saya juga telah turut mengurangkan dari segi tanggungjawab saya dengan mengambil tanggungjawab saya itu untuk diberikan kepada exco-exco yang lain untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberi selepas majlis Pelancaran Program Ladang Belia Lekir Daerah Manjung, Mukim Lekir di pejabat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Ipoh pada Selasa.
Dr Zambry memberi contoh pengupayaan golongan wanita dan belia di mana buat pertama kali seorang Exco wanita, Datuk Rusnah Kassim diberi tanggungjawab mengendalikan kerajaan tempatan.
Katanya, begitu juga Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi diberi tanggungjawab tambahan untuk mengendalikan Komunikasi dan Multimedia.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Saarani Mohamad dalam sidang media kelmarin mengumumkan bahawa penstrukturan itu sudah pun dikuatkuasakan mulai 1 Ogos lalu tetapi tidak melibatkan perubahan dari segi keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, empat Exco Kerajaan Negeri kekal dengan portfolio sedia ada manakala tujuh yang lain termasuk Dr Zambry mempunyai pertambahan dan pertukaran.
Beliau memberitahu, semua exco sudah dimaklumkan pada Rabu yang lalu mengenai perubahan portfolio itu yang merupakan idea dan cetusan baharu Dr Zambry selepas pulang dari Havard baru-baru ini.

0 comments:

Post a Comment