a Sultan Nazrin Dan Tuanku Zara Meriahkan Kayuhan Amal Maybank Islamic ~ zambry.my

Thursday, August 6, 2015

Sultan Nazrin Dan Tuanku Zara Meriahkan Kayuhan Amal Maybank Islamic

Kayuhan amal anjuran Maybank Islamic dimeriahkan lagi dengan apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyertai acara kayuhan 10 kilometer di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, pada Ahad.
Turut sama mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Tidak ketinggalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Maybank Islamic, Dato' Seri Ismail Shahudin serta barisan Exco Perak.
Acara berbasikal amal yang dinamakan "Cycle: Save A Child's Heart" dimulakan dengan pelepasan peserta oleh baginda seawal jam 7.30 pagi bagi kategori 120 kilometer dan kategori Terbuka 30 kilometer pada jam 8 pagi.
Program kayuhan pada tahun ini juga menyaksikan lebih 1,500 orang peserta yang mengambil bahagian dalam kategori masing-masing seperti 10 kilometer (VIP Ride), 30 kilometer (Fun Ride) dan 120 kilometer (Endurance Ride).
Menurut Ismail, kayuhan yang memasuki tahun kedua itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, melebihi tahun sebelumnya.
Tahun ini dana sebanyak RM 100,000 berjaya dikutip hasil sumbangan masyarakat.
"Acara yang kita anjurkan hari ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kami (Maybank Islamic) untuk kanak-kanak yang mempunyai komplikasi penyakit jantung bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ASEAN.
Kutipan ini juga disasarkan kepada keluarga yang tidak berkemampuan untuk menanggung kos rawatan anak mereka yang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Selepas diadakan di Putrajaya dan Ipoh, acara kayuhan ini akan diperluaskan di seluruh Malaysia.
Ianya bukan sahaja mempromosikan kesihatan dan gaya hidup sihat kepada orang ramai bahkan menggalakkan mereka bersukan sebagai contoh dengan berbasikal," katanya.
Majlis berakhir kira-kira jam 12.30 tengahari dengan penyerahan replika cek sumbangan hasil kutipan yuran penyertaan "Cycle: Save A Child's Heart" kepada IJN.

0 comments:

Post a Comment