a Rombak Bos Gaurus! ~ zambry.my

Thursday, August 20, 2015

Rombak Bos Gaurus!

Kecewa dengan prestasi buruk pasukan Perak sejak kebelakangan ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan supaya keseluruhan pasukan The Bos Gaurus dirombak.
Menurut beliau, rombakan itu bukan hanya melibatkan pemain tetapi juga di peringkat kejurulatihan dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Dr Zambry berkata, jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan telah diminta untuk membuat penilaian daripada semua aspek.
“Amat mengecewakan saya apabila melihat persembahan Perak, di sebalik segala permasalahan yang telahpun saya bantu, saya selesaikan , namun kalau kita lihat corak permainan dan apa yang mereka tonjolkan itu, tidak sepadan dengan apa yang kita usahakan,” katanya di bilik media Dewan Negeri Perak pada Khamis.
Menteri Besar yang juga Penaung PAFA berkata, beliau telah mengarahkan Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin untuk mengambil tindakan tegas, termasuk terhadap pemain, jurulatih dan juga pengurusan.
Beliau memberitahu, kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk membantu membangunkan sukan nombor satu itu dengan harapan mereka bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh.
“Rakyat negeri Perak secara keseluruhannya kecewa sangat-sangat dengan cara permainan yang mereka tonjolkan, oleh yang demikian saya tidak akan teragak-agak untuk melakukan apa saja bagi memastikan supaya imej bola sepak negeri Perak kita dapat dikembalikan semula, saya tidak boleh lagi bersabar.
“Dengan corak permainan yang saya sendiri tidak boleh terima, kalau main untuk main-main, tak payah mainlah,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menerima perletakan jawatan Khairul Azwan Harun sebagai Timbalan Presiden PAFA.
Sementara itu, Zainol berkata, beliau memahami luahan rasa kecewa Menteri Besar yang telah banyak membantu PAFA sehingga menyelesaikan hampir keseluruhan masalah, khususnya dari segi hutang dan gaji.
Beliau memberitahu, jawatankuasa pengurusan telah mengambil langkah pertama dengan merehatkan Pengurus merangkap Ketua Jurulatih, Datuk M. Karathu mulai 19 Julai lalu.
Beliau menambah, jawatankuasa itu akan bermesyuarat sekali lagi selepas berakhir Liga Super untuk membuat penilaian dan seterusnya mencadangkan tindakan yang boleh diambil.

0 comments:

Post a Comment