a Enam Menteri Penuh Diminta Bangunkan Perak ~ zambry.my

Thursday, August 6, 2015

Enam Menteri Penuh Diminta Bangunkan Perak

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta enam menteri penuh anak jati Perak menggunakan kedudukan mereka sebagai menteri Persekutuan untuk membawa pembangunan kepada negeri Perak.
Pada masa sama beliau mengingatkan supaya mereka tidak mengambil kesempatan daripada kedudukan masing-masing untuk kepentingan diri.
Sebaliknya menegaskan menggunakan kedudukan tersebut untuk membawa peruntukan yang boleh membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, beliau akan memantau tugas dan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka bagi emastikan negeri Perak benar-benar membangun.
"Walaupun saya baru dalam posisi ini tapi saya sudahpun perhatikan sejauh mana hendak membawa pembangunan, sejauh mana pula Ong Ka Chuan bawa, sejauh mana Mah Siew Keong bawa, sejauhmana Datuk Seri Husni bawa, dan sejauhmana Datuk Seri Nazri Aziz bawa.
"Saya tidak ada kuasa tetapi akan perhatikan kalau ada maklum balas daripada tuan-tuan dan puan-puan jika terdapat salah seorang daripada mereka tidak membawa pembangunan di Perak beritahu saya sebab saya berjanji pada diri saya dan berjanji dengan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bahawa titah Tuanku untuk melihat anak-anak Perak yang berada diperingkat nasional mesti membantu negerinya daripada segi pembangunan.’’ katanya.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap di Majlis Bersama Timbalan Perdana Menteri di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh pada malam Rabu.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri Perak.
Beliau turut mengingatkan anak-anak Perak yang dilantik menteri penuh supaya jangan lupa diri dengan kedudukan masing-masing.
Katanya mereka harus sentiasa ingat bahawa mereka berada di kedudukan sekarang atas takdir Allah dan sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pemimpin lain.

0 comments:

Post a Comment