a Spekulasi Digugurkan Hanya Mainan Spekulator Politik ~ zambry.my

Thursday, August 6, 2015

Spekulasi Digugurkan Hanya Mainan Spekulator Politik

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap spekulasi kononnya beliau bakal digugurkan sebagai Menteri Besar Perak berikutan rombakan kabinet 28 Julai lalu sebagai satu permainan spekulator politik, sama seperti spekulator mata wang.
Menurut beliau, spekulator politik itu memang gemar membuat spekulasi apabila melihat ada sedikit perubahan dalam suasana politik negara.
“Ini kerja-kerja sepkulator politik yang kerja mereka memang menjadi ahli spekulator sepertimana spekulator mata wang.
“Jadi dia lihat apabila ada sedikit perubahan maka diapun membuat spekulasi,” katanya kepada pemberita di majlis Pelancaran Program Ladang Belia Lekir, Daerah Manjung Mukim Lekir di pejabat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak di Ipoh pada Selasa.
Malah menurut Dr Zambry, beliau tidak pernah panik dan terganggu ekoran spekulasi itu kerana sebagai Menteri Besar, beliau sentiasa menjalankan tanggungjawab menjaga rakyat di negeri Perak.
“Semua media lebih faham dan lebih maklum apa yang telah dan sedang saya laksanakan untuk rakyat di negeri Perak, maka sebab itu saya tidak pernah panik dan menjadi gelisah sebagainya,” ujarnya.
Dr Zambry memberitahu, spekulasi seumpama itu bukanlah pertama kali, malah pernah berlaku pada tahun 2012 dan 2013, kononnya beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi Dr Zambry bakal digugurkan sebagai Menteri Besar Perak.
Beliau turut menafikan spekulasi mengenai kedudukan dua lagi Menteri Besar yang dikatakan bakal tersingkir berikutan rombakan kabinet pada 28 Julai, iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Mukriz Mahathir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

0 comments:

Post a Comment