a Tunjuk Perasaan Petani Sekadar Permainan PSM – Dr Zambry ~ zambry.my

Friday, August 7, 2015

Tunjuk Perasaan Petani Sekadar Permainan PSM – Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan tindakan penunjuk perasaan dalam perhimpunan haram di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pagi Rabu hanyalah sekadar modus operandi Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk memburukkan kerajaan negeri.
Menurut beliau, kebanyakan daripada mereka yang mengepalai perhimpunan haram itu terdiri daripada ahli PSM, bertujuan mengambil perhatian dan rakaman buat tatapan umum.
Beliau berkata, ia seolah-olah menjadi modus operandi PSM dalam menunjukkan betapa zalimnya kerajaan Barisan Nasional dan ia bukanlah kali pertama mereka berbuat demikian.
“Seperti semua sedia maklum, kita telah melaksanakan pelbagai program dan perancangan termasuk mewujudkan kawasan-kawasan pertanian tetapi kumpulan ini tidak akan berhenti kerana mereka mempunyai matlamat dan tujuan tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program pecah tanah SM Tahfiz Darul Ridzuan daerah Batang Padang di Kg Sg Lesong pada Khamis.
Jelasnya, sejak menjadi Menteri Besar, kumpulan itu telah beberapa kali mengadakan tunjuk perasaan dengan mengusung kain rentang, membawa hasil pertanian dan membawa haiwan dalam kurungan, semata-mata untuk melaksanakan modus operandi dengan tujuan tersirat mereka.
Tambahnya, kumpulan penunjuk perasaan itu juga mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan oleh pihak polis dengan cuba memecah masuk pintu masuk bangunan pentadbiran negeri sebelum ditahan pihak berkuasa.
“Kita nak layan macam mana kumpulan ini kerana rakyat serta petani tulen tahu apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan negeri dalam menyelesaikan permasalahan di dalam kegiatan dan kawasan pertanian, memang mereka kita bantu selama ini.
“Justeru, saya meminta maaf tetapi saya tidak akan tunduk kepada kumpulan sebegini kerana ini bukan caranya, jangan cuba menggugut saya,” tegas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, semua petani tersebut haruslah menyedari bahawa tanah yang diusahakan selama ini adalah tetap hak milik tanah kerajaan.
“Mereka telah berpuluh tahun bercucuk tanam di situ, malah meneroka tanah kerajaan secara haram, mendapatkan hasil tetapi langsung tidak membayar apa-apa kepada kerajaan negeri.
“Mereka harus tahu, apabila kerajaan hendak membangunkan tanah tersebut maka ia boleh diambil tanpa sebarang pampasan, mereka boleh pergi ke mahkamah tetapi harus ingat bahawa telah mengusahakan tanah kerajaan secara haram selama ini,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut meluluskan sebahagian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di sesetengah kawasan pertanian, namun adalah menjadi hak kerajaan untuk mengambilnya semula bagi tujuan pembangunan pada bila-bila masa.
Beliau yakin, petani tersebut hanya diperalatkan oleh parti politik pembangkang untuk menarik perhatian kerajaan negeri berikutan ketiadaan isu melibatkan rakyat setempat yang boleh diketengahkan.

0 comments:

Post a Comment