a 1,500 Sertai Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri ~ zambry.my

Thursday, August 6, 2015

1,500 Sertai Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri

Seramai 1,502 bakal jemaah haji menyertai Kursus Perdana Haji Musim 1436H/2015 peringkat negeri Perak di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping di Kamunting mulai Sabtu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan kursus itu pada Sabtu malam.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, barisan Exco kerajaan negeri dan Pemangku Ketua Operasi Tabung Haji (TH), Adi Azuan Abdul Ghani.
Adi Azuan di dalam ucapannya berkata, walaupun kos mengerjakan haji meningkat setiap tahun tetapi TH masih mengekalkan bayaran sebanyak RM9,980 kepada jemaah yang ingin menunaikan haji kali pertama melalui muasasah.
Beliau memberitahu, dengan bayaran itu, bermakna TH perlu menanggung baki kos sebenar iaitu sebanyak RM7,290.
Adi Azian turut menasihatkan bakal-bakal jemaah supaya mematuhi semua arahan yang dikeluarkan TH dan pihak berkuasa Arab Saudi bagi melancarkan urusan semasa mengerjakan haji.
Di samping itu, beliau berharap bakal-bakal jemaah haji supaya mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim turut menyampaikan hadiah kepada 10 pasangan suami isteri bakal jemaah haji yang mewakili 10 daerah di negeri ini.
Baginda kemudiannya berkenan membacakan lafaz perasmian kursus haji itu yang berakhir pada Ahad, sebelum bersantap bersama bakal-bakal jemaah haji.

0 comments:

Post a Comment