a Sindiket Ceroboh Tanah - Dr Zambry Minta Bantuan Pembangkang ~ zambry.my

Sunday, August 30, 2015

Sindiket Ceroboh Tanah - Dr Zambry Minta Bantuan Pembangkang

Pihak pembangkang diminta tampil bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu mengenalpasti dalang-dalang sindiket besar dari luar Perak yang meneroka tanah secara haram di negeri ini.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerjasama pihak pembangkang diperlukan kerana beliau percaya mereka ada mempunyai maklumat tertentu berhubung sindiket besar itu.
Beliau berkata, pihak pembangkang tidak usah memainkan isu ini kerana kerajaan negeri sendiri memang serius dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan oleh beberapa sindiket besar ini.
"Yang paling penting, kita perlu mengambil tindakan serius terhadap beberapa sindiket besar ini kerana ia melibatkan tanah kerajaan dan hasil negeri.
"Maka sebab itu kerajaan telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah pencerobohan tanah haram ini melalui pejabat tanah, polis dan SPRM," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang meminta kerajaan negeri mendedahkan nama beberapa sindiket yang terbabit menceroboh tanah kerajaan secara haram di Perak.
Dr Zambry Abd Kadir semasa sidang Dewan Negeri baru-baru ini telah mendedahkan terdapat beberapa sindiket besar daripada luar negeri Perak yang meneroka secara haram tanah di negeri ini.
Menurut beliau, sindiket itu bukan sahaja berani meneroka di kawasan sempadan dengan negeri lain seperti di Tanjung Malim, malah telah berani meneroka sehingga ke kawasan Sungai Tumbuh di Seri Iskandar.
Sambil menyatakan rasa dukacitakannya, Dr Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan sindiket seumpama itu yang menggunakan petani untuk melindungi kegiatan mereka.
Ujarnya, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah pasukan khas yang turut dianggotai oleh pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat tanah untuk mengatasi masalah pencerobohan haram di negeri ini.

0 comments:

Post a Comment