a Jangan Dengar Fitnah, Bersatu Kukuhkan Parti ~ zambry.my

Saturday, August 8, 2015

Jangan Dengar Fitnah, Bersatu Kukuhkan Parti

Ahli UMNO dinasihatkan supaya jangan mendengar fitnah yang disebarkan, sebaliknya kembali bersatu memperkukuhkan semula parti bagi menghadapi masa depan yang lebih panjang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ahli parti juga perlu memberi ruang dan peluang kepada pucuk pimpinan parti untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sekarang.
Menurut beliau, semua pihak tidak harus bertenang dan memberi yang terbaik kepada perjuangan parti, berazam dan bertawakal.
“Mungkin sesuatu yang kita anggap tidak elok tetapi mungkin boleh mendatangkan kebaikan dan mungkin sesuatu yang kita anggap elok tetapi mendatangkan keburukan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Larut di Hotel Taiping Perdana pada Sabtu.
Dr Zambry mengingatkan bahawa perkara ini telah diperingatkan di dalam ayat 216 Surah al – Baqarah bahawa hanya Allah S.W.T sahaja yang maha mengetahui.
Menurutnya, ahli UMNO perlu redha dengan apa yang telah berlaku dan berusaha untuk memperbaiki keadaan supaya kembali tenang dan parti terus kukuh.
“Ini adalah sebahagian daripada cabaran parti dan kita perlu istiqamah kerana cabaran seumpama ini bukanlah perkara baru kerana UMNO pernah diharamkan pada tahun 1987 sehingga menyebabkan kita umpama anak ayam kehilangan ibu.
“Tetapi Alhamdulillah, berkat semangat dan kecintaan kepada parti mengatasi segala-galanya, kita berjaya mengharunginya,” ujar beliau.
Dr Zambry yakin, ahli-ahli UMNO di Perak mampu menghadapi isu yang berlaku sekarang kerana krisis 11 bulan kehilangan kuasa selepas pilihanraya umum 2008 telah menjadi pendinding yang kuat.

0 comments:

Post a Comment