a Pelajar Tidak Ambil Peduli Bayar Balik Pinjaman Diburu ~ zambry.my

Tuesday, August 25, 2015

Pelajar Tidak Ambil Peduli Bayar Balik Pinjaman Diburu

Perak sedang mengambil langkah tegas memburu pelajar yang langsung tidak mengambil peduli untuk membayar balik pinjaman pelajaran mereka kepada kerajaan negeri. 
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan pelajar itu bukan sahaja menyusahkan kerajaan, malah membantutkan permohonan pelajar baharu untuk mendapatkan pinjaman pelajaran. 
Namun demikian, menurut beliau, kerajaan tetap komited meneruskan pinjaman kepada pelajar-pelajar baharu bagi membolehkan mereka menyambung pelajar ke peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara. 
Ujarnya, beberapa langkah telah dan sedang dilakukan untuk melihat dari segi tahap kes-kes yang terbabit itu. 
"Umpamanya kes pelajar yang langsung tidak peduli membayar balik pinjaman," katanya kepada pemberita di majlis penyerahan cek pengajian tinggi negeri Perak sesi 2015/2016 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin. 
Beliau berkata, kerajaan amat peka dan memahami masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar baharu tentang betapa pentingnya mereka untuk mendapatkan pinjaman pelajaran. 
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Mohammad Amin Zakaria dalam ucapannya berkata, sehingga 31 Januari 2014, sejumlah RM21 juta pinjaman pendidikan telah diberikan kepada anak-anak Perak. 
Katanya, prestasi pembayaran balik pinjaman adalah mengecewakan di mana sehingga 27 Mei lepas tidak sampai sejuta ringgit. 
Pada majlis itu, seramai 501 pelajar menerima cek pinjaman pengajian tinggi yang melibatkan peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah falsafah (Ph.D) termasuk 10 orang pelajar ijazah sarjana muda yang mendapat anugerah pinjaman boleh ubah kepada biasiswa.

0 comments:

Post a Comment