a Kekuatan UMNO di Tangan Ahli Akar Umbi ~ zambry.my

Saturday, August 15, 2015

Kekuatan UMNO di Tangan Ahli Akar Umbi

Barisan peneraju di peringkat akar umbi UMNO perlu bijak menggunakan pentas perwakilan untuk mengemukakan permasalahan rakyat kepada kepimpinan tertinggi dalam usaha memperbaiki kedudukan parti, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, pucuk pimpinan sayap, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri harus berganding bahu dan jujur dalam menyuarakan pendapat masing-masing.

“Janganlah kita takut menggunakan pentas perwakilan untuk menyatakan apa sahaja kerana kita bukan berniat menyalahkan sesiapa, malah bukan juga bermaksud kita tidak menyokong institusi parti tetapi kita perlu cakap apa yang benar dan sampaikan suara rakyat kepada pemimpin.

“Kalau kita membisu dan buat seperti seolah-olah tidak masalah yang berlaku di luar sana, maka kita berkhayal di dunia sendiri kerana kita ingat UMNO kuat sedangkan pada hari ini UMNO dicabar dengan begitu hebat sekali,” katanya ketika berucap merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Manjung pada malam Jumaat.

Jelasnya, ahli parti diingatkan agar tidak mengganggap populariti sedia ada sebagai penyumbang undi kepada pilihan raya akan datang.

“Kita anggap kita kuat kerana orang sayang pada UMNO, masih lagi sokong UMNO tetapi bagaimana dengan penerimaan orang yang ada di luar sana?

“Tiga juta ahli UMNO yang ada pada hari ini adalah amat penting, namun lebih penting adalah 15 juta orang pengundi yang tanpa sokongan mereka kita tidak akan menang pilihan raya akan datang,” tegasnya.

Katanya, rakyat kini akan menilai samada UMNO dapat memahami keresahan dan kebimbangan terhadap permasalahan seharian masing-masing dalam menentukan kepercayaan, keyakinan serta sokongan mereka terhadap sesebuah parti.

Tegasnya, dalam keadaan kritikal di mana parti sedang dilanda dengan gelombang isu tidak henti-henti pada hari ini, semua pihak harus bermuhasabah diri dan memikirkan cara terbaik dalam menyelesaikannya dari peringkat akar umbi.

Khairy berkata, segala pengorbanan dan perjuangan UMNO adalah untuk mempertahankan satu-satunya parti yang stabil dalam menjadi wadah kepada perjuangan Melayu di Malaysia.

“Kalau UMNO kalah, maka tidak ada lagi satu perjuangan untuk kesucian agama, bangsa dan negara, lihatlah contoh di mana Perak diperintah oleh pembangkang selama sembilan bulan, namun kita telah memenanginya semula, bukti memang UMNO lah pejuang ulung untuk agama Islam,

“Saya sedar bahawa apa sahaja yang berlaku pada UMNO, semua akan kekal menyokong dan tidak membiarkan ianya jatuh tetapi harus kita ingat, kita tidak boleh bergantung harap dan bersandarkan kepada status pembangkang sahaja.

“Kemenangan yang sebenar adalah bila kita kuat, apabila rakyat melihat kita kuat, apabila rakyat melihat kita lebih baik daripada mereka dan bukannya kerana kita buruk berbanding musuh,” ujarnya.

Khairy juga mengingatkan bahawa kesemua ahli UMNO tidaklah boleh bersikap alpa dan leka terhadap tempoh masa dua tahun setengah menuju ke pilihan raya akan datang.

Jelasnya, masa yang ada buat masa ini adalah peluang terbaik bagi kesemua kontinjen UMNO untuk turun padang dan menyelami masalah masyarakat agar dapat memadamkan kegusaran yang bersarang di dalam hati mereka.

“UMNO adalah parti rakyat, UMNO adalah parti akar umbi, parti ahli jadi kembalikanlah kekuatan akar umbi, suara akar umbi dan suarakanlahy apa yang terbuku dalam hati.

“Kalau kita berdiam tidak buat peduli, maka kegusaran rakyat akan bertambah malah menjadi kemarahan membara, menjadi penolakan dan penolakan itulah yang akan membuatkan kita kalah.

“Yang boleh menyelamatkan UMNO di Malaysia bukanlah teraju kepimpinan UMNO tetapi kesemua pucuk pimpinan akar umbi yang mengorbankan segalanya untuk parti, inilah masanya untuk kita bangkit dan memastikan bahawa UMNO terus maju, dan selamat,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment