a Perak Gesa SKMM Tegas Terhadap Penyebar Maklumat Palsu ~ zambry.my

Wednesday, August 12, 2015

Perak Gesa SKMM Tegas Terhadap Penyebar Maklumat Palsu

Perak menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pengguna media sosial yang menyebarkan maklumat palsu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, jika perkara tersebut tidak ditangani dengan serius, ianya boleh mencetuskan suasana panik dan huru-hara di dalam negeri ini.
“Penyebaran maklumat dan gambar palsu dalam media sosial bagi tujuan mewujudkan suasana resah sejak akhir-akhir didapati semakin serius dan banyak diperlakukan.
“Contohnya, isu gajah mengamuk di Jeli yang menjadi viral baru-baru ini di aplikasi “Whatsapp” telah menyebabkan negara panik sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh pada Rabu.
Begitu juga, katanya, dengan isu puting beliung di Lumut yang kononnya telah menyebabkan kemusnahan teruk pada daerah berkenaan.
Jelas beliau, implikasi tidak bertanggungjawab itu telah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan penduduk dan kerajaan negeri memandang serius perkara berkenaan.
Justeru itu, katanya, kerajaan negeri akan mengarah pihak berkuasa khususnya SKMM mengenal pasti dalang-dalang yang menyebar maklumat palsu terbabit untuk dikenakan tindakan.
“Saya tidak akan biarkan perkara ini berlaku dan menjadi lebih serius. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan kepada mereka yang mengambil kesempatan mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat,” tegas beliau.
Dr Zambry juga tidak menolak kemungkinan tindakan tidak bertanggungjawab itu dirancang oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat keadaan huru berlaku di dalam masyrakat.

0 comments:

Post a Comment