a Pelihara Kestabilan Parti, Elak Timbulkan Masalah Dalaman ~ zambry.my

Thursday, August 6, 2015

Pelihara Kestabilan Parti, Elak Timbulkan Masalah Dalaman

Semua pihak di dalam UMNO perlu berpegang kepada perjuangan parti, memelihara kestabilan dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan masalah dalaman.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, apa juga masalah yang timbul, pemimpin dan ahli parti perlu mengeratkan kesatuan dan mentaati pucuk pimpinan.
Menurut beliau, janganlah disebabkan rasa tidak puas hati, mereka mengambil tindakan yang boleh merugikan, umpama kata pepatah, marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Beliau berkata, UMNO / Barisan Nasional Perak sendiri pernah merasai suasana krisis ketika tewas pada Pilihan Raya Umum tahun 2008 tetapi akhirnya berjaya diperolehi semula hasil semangat kerjasama dan kesatuan dalaman parti.
"Pengalaman itulah yang menjadikan kami di Perak ini lebih matang dan juga bersedia bagaimana hendak menghadapinya dengan baik tanpa mewujudkan perkara-perkara yang boleh membawa keburukan kepada parti, negeri serta negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak mesyurat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tanjung Malim di dewan MRSM Trolak pada Sabtu.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Wanitanya, Datuk Rusnah Kassim, Ketua Pemuda, Mohd Amin Osman dan Ketua Puteri, Zuziati Md Zakaria.
Terdahulu di dalam ucapannya, Dr Zambry berharap, ahli-ahli UMNO di Perak tidak lupa dengan sejarah yang berlaku pada tahun 2008 dan menjadikannya sebagai pengajaran yang sangat berguna.
Menurut beliau, dalam perjuangan sesebuah organisasi, apa yang paling penting ialah survival keseluruhan organisasi, bukannya soal individu.
"Saya harap ahli-ahli hadapi masalah yang berlaku dengan tenang dan jangan sesekali menanam kebencian di dalam diri kerana kehebatan seseorang itu terletak pada semangat perjuangannya," tambah beliau.
Beliau yang juga Menteri Besar turut berharap semua pihak memberi peluang kepada pucuk pimpinan negara menjelaskan mengenai isu 1MDB, seperti yang dijanjikan. Beliau berkata, dalam suasana sekarang, semua pihak dalam UMNO perlu mengembalikan kekuatan parti dengan meneruskan gerak kerja untuk menambah ahli dan pengundi.
"Cari pendekatan untuk mengembalikan keyakinan rakyat yang nerupakan satu cabaran cukup besar, jelaskan, terangkan kepada mereka," ujarnya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang hadir telah melafazkan ikrar taat setia kepada perjuangan parti dan pucuk pimpinan.

0 comments:

Post a Comment