a Kerajaan Tidak Akan Tunduk Tuntutan Peneroka Haram ~ zambry.my

Friday, August 7, 2015

Kerajaan Tidak Akan Tunduk Tuntutan Peneroka Haram

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan tunduk dengan tuntutan peneroka haram yang menggunakan demonstrasi sebagai cara untuk memaksa kerajaan menyelesaikan masalah mereka.
Menurut Dr Zambry, tindakan mereka membuat demonstrasi dihadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan baru-baru ini digerakkan oleh PartiSosialis Malaysia (PSM) untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri langsung tidak berbuat apa-apa untuk membantu petani.
Beliau berkata, cara itu adalah modus operandi kumpulan tersebut,yang bukan sahaja dilakukan di Ipoh, malah juga di Putrajaya dan dianjurkan berkali-kali sejak bertahun-tahun lalu.
“Minta maaf, ini bukan caranya dan saya tidak akan melayan mereka kerana sejak awal lagi, inilah cara mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah menerima jawatan Datuk Zamri Man sebagai Datuk Bandar Ipoh ke – 10 di bangunan Majlis Bandaraya Ipoh pada Jumaat.
Dr Zambry yakin, kumpulan ini akan terus berbuat perkara-perkara yang pelik di masa-masa akan datang untuk menggambarkan kononnya mereka sahaja yang berjuang untuk membantu petani dan kerajaan negeri langsung tidak ambil peduli nasib golongan itu.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah menyelesaikan beribu-ribu masalah petani, seperti masalah beribu ekar tanah di Coldstream yang telah diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, kata beliau, terdapat kawasan yang diteroka secara haram yang tidak boleh diselesaikan kerana kerajaan juga mempunyai rancangan pembangunan di kawasan yang berkenaan.
“Kerajaan mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah tetapi ada kawasan-kawasan tertentu yang kerajaan telah kenal pasti untuk tujuan pembangunan.
"Takkan Perak tidak boleh membangun, dengan tuntutan kawasan perumahan, rakyat hendak kemudahan seperti bandar baharu, jika tidak, rakyat akan menyalahkan kerajaan Perak kerana tidak berbuat apa-apa,” ujarnya.
Menteri Besar berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan konsep pembangunan seimbang di negeri ini dan bersedia untuk menyelesaikan masalah di kawasan-kawasan yang masih belum mempunyai sebarang rancangan pembangunan.
“Kita jadikan konsep pembangunan kita secara seimbang tetapi untuk menuduh kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk petani adalah keterlaluan,” tegas beliau.

0 comments:

Post a Comment