a RMK11 Perak Bukan Omong Kosong ~ zambry.my

Tuesday, August 18, 2015

RMK11 Perak Bukan Omong Kosong

Perak menggariskan tujuh teras utama Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi melipatgandakan lagi pertumbuhan ekonomi negeri menjelang tahun 2020.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa rancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun antara 2016 hingga 2020 itu, bukan sekadar omong kosong.
Menurut beliau, pelan pembangunan itu akan dilaksanakan meliputi seluruh aspek ekonomi, sosial, pentadbiran dan lain-lain lagi.
“Kalau sesesuatu perkara itu tidak mencapai matlamatnya, ia bukan hanya boleh diletakkan kepada kerajaan semata mata kerana kita tahu dalam faktor perancangangan ekonomi kita terbuka.
“Kita tertakluk kepada ekonomi dunia kerana Malaysia berada dalam ekonomi dunia dan dalam konteks ekonomi yang terbuka, tentunya suasana yang berlaku di luar negara akan turut mempengaruhi dari segi kesan dan aliran ekonomi dunia.
“Begitu juga dengan faktor-faktor demokrasi, geopolitik yang berlaku di Perak dan Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita di Bilik Media selepas persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Menurut Dr Zambry, membentangkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak itu adalah antara pendekatan kerajaan negeri untuk memberikan penjelasan pra-perancangan yang akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Secara keseluruhannya, itu akan memberi rupa bentuk pembangunan dan pertumbuhan di negeri Perak dalam tempoh lima tahun akan datang menjelang 2020,” ujarnya.
Dr Zambry juga memberitahu bahawa kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kemententian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di samping memberi fokus kepada bidang yang Perak mempunyai kelebihan untuk membawa masuk pelabur.
Beliau memberikan contoh bidang `maintenance, repair dan overhaul’ (MRO) yang mampu melonjakkan nama Perak.
“Perak telah dipilih untuk dijadikan pusat MRO bagi pesawat kecil dan kita telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dan diharapkan ia dapat dilaksanakan," tambahnya.
Dalam pada itu Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tiada halangan sekiranya sebuah badan pemantauan ditubuhkan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan yang konstruktif bagi pelaksanaan rancangan berkenaan.

1 comment:

  1. Dato'
    Ambil saya bekerja sebagai penasihat dan perancang ekonomi negeri Perak. Saya berminat untuk membantu dalam pembangunan negeri Perak. Terima kasih

    ReplyDelete