a Pengiktirafan Besar Kepada Perak - Dr Zambry ~ zambry.my

Wednesday, July 29, 2015

Pengiktirafan Besar Kepada Perak - Dr Zambry

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir menyifatkan Kabinet baru kerajaan sebagai pengiktirafan besar kepada negeri Perak.

Menurut beliau, selain pemilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, tujuh lagi pemimpin Perak menggotai kabinet sebagai menteri penuh dan timbalan menteri. 

``Saya fikir ia adalah pengiktifaran kepada Perak dan saya percaya mereka mempunyai kemampuan untuk memikul tugas dengan baik,'' katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Ipoh pada Rabu.

Diminta mengulas mengenai pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, sudah menjadi tradisi UMNO untuk menghormati pemimpin dalam apa jua keadaan.

“Buat ketika ini Muhyiddin masih lagi Timbalan Presiden parti jadi sudah tentu ahli-ahli terus menghormati beliau. Memang tradisi kita sejak dari dahulu lagi begitu.

“Kini ia terserah kepada kepimpinan parti untuk menentukan nasib beliau kerana jawatan yang dipegangnya adalah pilihan parti,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian UMNO negeri bagi majlis perasmian mesyuarat bahagian yang menjemput Muhyiddin, beliau menjelaskan, tiada halangan untuk berbuat demikian kerana ia bergantung kepada pimpinan di peringkat bahagian.

"Ada (bahagian) yang telah menjemput, itu terpulang. Kita tidak dapat apa-apa arahan daripada UMNO Pusat,” jelas beliau.

0 comments:

Post a Comment